Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 08:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – CIMB Bank Berhad (CIMB) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) sekali lagi menjalinkan kerjasama strategik dengan pelancaran Kad Debit Visa CIMB PETRONAS yang baharu.

Inisiatif ini bertujuan membantu pelanggan mengurangkan kos sara hidup menerusi penjimatan dalam bentuk pulangan tunai bagi perbelanjaan berkaitan dengan minyak dan kenderaan.

Kad ini memperkukuh barisan produk petrol bank dan melengkapi Kad Kredit Visa CIMB PETRONAS yang sedia ada. Pelanggan yang memiliki kedua-dua kad debit dan kad kredit berpeluang menikmati pulangan tunai sehingga RM2,000 setahun.

Kerjasama ini selaras dengan komitmen CIMB dan PDB untuk menghargai pelanggan dan memberikan sokongan dalam membina daya tahan kewangan. Hal ini juga mencerminkan semangat “Kita Bagi Jadi”, iaitu sebuah gerakan sosial oleh CIMB yang memfokuskan impak positif kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, YBrs. Encik Gurdip Singh Sidhu menyatakan bahawa kad ini direka khusus untuk menjimatkan perbelanjaan petrol dan kos berkaitan dengan kenderaan. Beliau menekankan bahawa penjimatan yang ditawarkan mampu memanjangkan nilai setiap ringgit yang dibelanjakan pelanggan.

Beliau turut menyuarakan keterujaan CIMB untuk bekerjasama semula dengan PETRONAS dan menyifatkannya sebagai satu contoh kerjasama antara dua syarikat besar tempatan dalam memperkenalkan penyelesaian kewangan yang bermakna kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PDB, YBrs. Azureen Azita Abdullah berkata, pelancaran kad debit ini merupakan lanjutan komitmen bersama antara PDB dengan CIMB untuk menyediakan nilai dan kemudahan tambahan kepada pelanggan. Beliau menambah bahawa kad ini direka secara teliti untuk membantu pengguna mengurus perbelanjaan harian dengan penjimatan bermakna di stesen PETRONAS dan Kedai Mesra lebih-lebih lagi apabila dipaut ke aplikasi Setel.

Dalam pada itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, YBrs. Encik Previn Pillay menegaskan bahawa petrol merupakan satu daripada kategori perbelanjaan tertinggi bagi pengguna di Malaysia, namun banyak yang masih membayar secara tunai. Kad Debit Visa CIMB PETRONAS menurut beliau, berpotensi besar dalam mendigitalkan transaksi di stesen minyak dengan menawarkan pembayaran yang lancar, selamat dan pantas.

Kad ini bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran petrol dan pembelian di Kedai Mesra, malah menawarkan pulangan tunai 10 peratus bagi pelbagai perkhidmatan seperti transaksi di PETRONAS (termasuk Setel dan Kafe Mesra); stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) terpilih; pembayaran insurans motor melalui Berjaya Sompo dan Takaful IKHLAS, serta Perkhidmatan cuci kereta di lokasi yang menerima kad debit CIMB.

Bagaimanapun, pulangan tunai ini dihadkan mengikut kategori antaranya termasuklah RM30 sebulan untuk transaksi PETRONAS (bersamaan dengan RM360 setahun); RM50 setahun untuk insurans motor; dan RM10 sebulan untuk cuci kereta (bersamaan dengan RM120 setahun). Untuk layak menikmati faedah ini, pemegang kad perlu mengekalkan baki purata bulanan minimum sebanyak RM1,000 dalam akaun semasa, simpanan atau pelaburan-i CIMB.

Kad Debit Visa CIMB PETRONAS boleh didapati di semua cawangan CIMB di seluruh negara. Maklumat lanjut, termasuk terma dan syarat serta cara permohonan boleh didapati di laman web rasmi CIMB www.cimb.com.my/pvd.

Kredit Foto: CIMB Berhad
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi