Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan terus memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi apabila memperuntukkan sebanyak RM1.015 bilion kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam Belanjawan 2026, iaitu peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding dengan RM815.13 juta pada tahun 2025.
Menurut KUSKOP, peruntukan tertinggi dalam sejarah kementerian itu mencerminkan komitmen besar kerajaan dan Perdana Menteri bagi mengangkat PMKS sebagai antara peneraju utama ekonomi serantau.
Belanjawan 2026 yang bersifat insklusif ini turut memberikan manfaat kepada hampir semua kategori usahawan termasuk PMKS, koperasi, perusahaan sosial, usahawan francais dan usahawan informal seperti komuniti penjaja dan peniaga kecil.
Kumpulan fokus khas seperti usahawan bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak, wanita, golongan B40 serta anak muda turut diberi perhatian bagi memastikan peluang ekonomi dikongsi secara saksama.
Menurut KUSKOP, jumlah keseluruhan kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan kepada PMKS mencecah RM50 bilion, lebih tinggi berbanding dengan Belanjawan 2025.
Peruntukan ini selaras dengan pelaksanaan tahun pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang memberikan tumpuan kepada peningkatan skala pertumbuhan dan daya saing PMKS serta memperkasakan sektor ketiga melibatkan gerakan koperasi, perusahaan sosial dan perniagaan inklusif.
Antara insentif utama yang diumumkan termasuklah peruntukan RM20 juta bagi menambah tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan di Sarawak.
Selain itu, UDA Holdings Berhad menerajui pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang melalui Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan Fasa 3 serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.
Bagi memperkukuh pembiayaan keusahawanan, SME Bank menawarkan dana khas sebanyak RM100 juta kepada PMKS halal, manakala Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan lebih daripada RM2.5 bilion pinjaman mikro. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pula menerima RM50 juta sebagai dana pembiayaan bagi menyokong perusahaan koperasi di seluruh negara.
Selain itu, Program Jaguh Serantau SME Bank menyediakan RM200 juta pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera bagi menembusi pasaran eksport. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima RM230 juta menjadikan jumlah keseluruhan dana AIM mencecah RM2.9 bilion yang bakal memberikan manfaat kepada lebih daripada 300,000 sahabat usahawan. Bagi memperkasakan usahawan wanita, Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta.
Pada masa sama, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp. Malaysia diperuntukkan RM12 juta bagi tujuan latihan dan bantuan perniagaan. Kaum India turut menerima manfaat menerusi program sosioekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), TEKUN Nasional dan AIM berjumlah RM220 juta, manakala Perbadananan Nasional Berhad (PERNAS) diperuntukkan RM9 juta untuk menyokong pembangunan industri francais.
KUSKOP menjelaskan bahawa pelaksanaan program keusahawanan di bawah Belanjawan 2026 akan dipantau secara menyeluruh melalui Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Pemantauan ini bertujuan memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberikan impak maksimum kepada kumpulan sasaran.
Secara keseluruhannya, KUSKOP yakin Belanjawan 2026 akan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, membangunkan sosioekonomi serta memastikan sektor PMKS terus berkembang dan kekal menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi Malaysia.