Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi oleh Kerajaan MADANI bukan hanya satu langkah kewangan, sebaliknya merupakan reformasi struktur yang penting untuk memastikan dana awam benar-benar dinikmati rakyat Malaysia dan bukannya dinikmati oleh warga asing atau syarikat besar.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyatakan bahawa meskipun kerajaan terdahulu mengakui perlunya penyasaran subsidi, hanya pentadbiran kini yang berjaya melaksanakannya hasil daripada tekad politik yang jelas dan berani.
Jelasnya, subsidi harus dimaknai sebagai keistimewaan untuk rakyat Malaysia semata-mata, bukan untuk pihak luar atau korporat yang tidak memerlukan.
Menurut Dato’ Seri Anwar, pelaksanaan penyasaran dan pengapungan harga beberapa barangan, termasuk penstrukturan tarif tenaga telah membawa kepada penjimatan sebanyak RM15.5 bilion setahun. Dana ini katanya, akan diguna semula untuk memperkukuh kebajikan rakyat serta pembangunan negara.
Antara penjimatan utama yang dicapai termasuklah pengapungan harga ayam dan telur masing-masing sebanyak RM1 bilion, penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik purata sebanyak RM6 bilion, penyasaran subsidi diesel sebanyak RM5 bilion dan penyasaran subsidi RON95 yang dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion.
Walaupun berlaku pelarasan harga, Perdana Menteri menekankan bahawa 85 peratus pengguna tidak mengalami kenaikan tarif elektrik, malah sebahagian daripada mereka menikmati penurunan bil. Dalam masa yang sama, sektor pengangkutan awam, nelayan serta logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk melindungi kumpulan yang memerlukan.
Selain itu, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil. Sistem BUDI95 juga kini berjalan dengan lancar dan telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 10 juta rakyat yang terus menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengemas kini pangkalan data yang melibatkan 16.5 juta warganegara yang layak bagi memastikan penyaluran bantuan dan subsidi bersasar dapat dilakukan secara tepat dan menyeluruh. Langkah ini juga melibatkan pemberian kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar serta lebih daripada 52,000 orang pemandu pengangkutan e-panggilan aktif agar mereka terus menerima manfaat bahan api bersubsidi tanpa gangguan.