Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 20:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur —Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat dengan menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh sekadar “bungkam dan berpeluk tubuh” dalam menghadapi cabaran global seperti perang tarif, ketegangan geopolitik dan krisis iklim yang semakin memburuk, serta kebangkitan teknologi baharu.

Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Anwar menyatakan bahawa Belanjawan MADANI Keempat ini bukan sekadar laporan kewangan tahunan sebaliknya menandakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan menjadi kompas sejarah dalam menjayakan agenda kebangkitan dan pembaharuan nasional secara menyeluruh.

Menurutnya, meskipun Malaysia merupakan negara kecil dari segi geografi, Malaysia mesti menjadi negara besar dari sudut pengaruh, bukan melalui kekuatan ketenteraan, tetapi dengan kekuatan moral, keadilan sosial dan ekonomi yang kukuh.

Beliau turut memaklumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama tahun 2025 mencatat kadar memberangsangkan sebanyak 4.4 peratus dengan unjuran pertumbuhan tahunan antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.

Hal ini mencerminkan ketahanan ekonomi negara biarpun berdepan dengan tekanan seperti perang tarif oleh Amerika Syarikat. Bagi tahun 2026 pula, ekonomi dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan, iaitu sekitar 4.0 peratus hingga 4.5 peratus berikutan ketidaktentuan global dan konflik geoekonomi yang masih berlanjutan.

Namun begitu, dasar fiskal yang mengembang dijangka terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini selaras dengan komitmen kerajaan terhadap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menjadi tonggak kepada disiplin pengurusan kewangan negara.

Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah RM470 bilion meningkat daripada RM452 bilion pada tahun sebelumnya. Peruntukan ini meliputi RM338.2 bilion bagi Belanja Mengurus Persekutuan, RM81 bilion bagi Belanja Pembangunan Persekutuan, RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion daripada badan berkanun Persekutuan, serta syarikat milik kementerian (MKD).

Kerajaan juga bertekad untuk mengoptimumkan sumber negara melalui kerjasama strategik antara agensi awam dengan GLIC. Dalam memperkukuh prinsip tadbir urus dan kebertanggungjawaban, Dato’ Seri Anwar memaklumkan bahawa Akta FRA kini diperkuat dengan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang memberikan kuasa kepada Tribunal untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran dan mengikat kuasa Menteri Kewangan sendiri.

Beliau menegaskan bahawa langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi secara menyeluruh dan berani, bukan sekadar retorik.

Seiring dengan komitmen terhadap disiplin fiskal, kadar defisit negara turut menunjukkan penurunan konsisten sejak tahun 2022. Daripada 5.5 peratus pada tahun tersebut, defisit menurun kepada 5.0 peratus (2023), 4.1 peratus (2024), 3.8 peratus (2025) dan disasarkan 3.5 peratus pada tahun 2026.

Kerajaan menyasarkan untuk mencapai defisit tiga peratus dalam jangka masa sederhana. Penurunan ini juga membolehkan jumlah hutang baharu kerajaan dikekalkan dalam lingkungan yang lebih terkawal daripada RM100 bilion pada tahun 2022 kepada RM92 bilion (2023) dan sekitar RM77 bilion bagi tahun 2024 dan tahun 2025.

Hasil Kerajaan Persekutuan pula dijangka meningkat kepada RM343.1 bilion pada tahun 2026 berbanding dengan RM334.1 bilion pada tahun sebelumnya. Namun begitu, Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengenakan sebarang cukai tambahan bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan bantuan kepada rakyat.

Sebaliknya, kerajaan akan terus memperkasakan langkah penambahbaikan tadbir urus, memperhebat penyasaran subsidi, serta membanteras rasuah dan penyeludupan agar setiap sen perbelanjaan awam dimanfaatkan secara optimum untuk rakyat dan negara.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi