Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aspirasi Ekonomi MADANI yang menjadi asas Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) diterjemahkan melalui tiga prinsip utama, iaitu menaikkan siling, meninggikan lantai dan memperkukuh tatakelola sebagai strategi memperkukuh daya tahan, serta daya saing ekonomi negara secara menyeluruh.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron menjelaskan bahawa prinsip “menaikkan siling” merujuk usaha memperbesar saiz ekonomi negara agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, “meninggikan lantai” membawa maksud memperkukuh taraf hidup minimum rakyat bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan RMK-13 sangat bergantung pada aspek tatakelola yang baik kerana tanpa pentadbiran yang telus dan berintegriti, sebarang rancangan tidak akan mencapai hasil yang diharapkan.

Dalam sesi bual bicara bertajuk “RMK-13, Melakar Semula Pembangunan” sempena Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan telah merangka tujuh aspirasi utama di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Aspirasi tersebut antaranya bertujuan meningkatkan produktiviti negara dalam indeks daya saing global, menurunkan defisit fiskal, memperkukuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah, serta meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam tenaga kerja dan bahagian pendapatan buruh dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Kesemua aspirasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh lima tahun RMK-13 yang berpaksikan pada empat tonggak strategik merangkumi usaha memperkaya kepelbagaian ekonomi negara, memperluas mobiliti sosial rakyat, mempercepat reformasi sektor perkhidmatan awam, serta memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan menyeluruh untuk semua.

RMK-13 juga memberikan tumpuan kepada pengukuhan teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta penciptaan harta intelek sebagai pemangkin pertumbuhan baharu ekonomi negara.

Melalui pendekatan ini, Malaysia diharap mampu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang bukan sahaja maju secara ekonomi, tetapi juga saksama dan mampan untuk jangka masa panjang.

 

Kredit Foto: INTAN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi