Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur —  Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dilihat sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan untuk menangani cabaran domestik melalui dasar progresif dan pendekatan inklusif.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron berkata, perancangan RMK-13 bukan hanya memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kewangan, malah turut mengambil kira aspek sosial, antropologi dan nilai kemanusiaan dalam merangka masa hadapan negara.

“Cabaran negara kini meliputi kekangan fiskal, kebergantungan pada import makanan, kekurangan bakat tempatan dan kadar adopsi teknologi yang rendah. Semua ini memerlukan kerjasama menyeluruh merentas kementerian, agensi, sektor swasta dan masyarakat,” katanya semasa sesi libat urus Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025.

Antara isu utama yang dikenal pasti termasuklah ketidakseimbangan pendapatan rakyat berbanding dengan kos sara hidup, pasaran buruh yang kurang kompetitif, serta cabaran demografi yang memerlukan pendekatan baharu.

Kerajaan juga komited mengurangkan kebergantungan pada sektor tradisional dengan memberikan fokus kepada sektor bernilai tinggi seperti industri halal, ekonomi hijau, ekonomi biru maritim dan ekonomi jingga (ekonomi kreatif).

Dato’ Nor Azmie turut menyatakan bahawa RMK-13 akan menjadi titik perubahan kepada Pangsi (Pivot) Ketiga pembangunan negara, iaitu daripada pertanian (Pangsi Pertama) kepada pembuatan (Pangsi Kedua), kini beralih kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

“Dahulu kita hasilkan produk ‘Made in Malaysia’ dengan teknologi asing. Kini, kita mahu produk ‘Made by Malaysia’ ciptaan asli rakyat kita yang membawa nilai tambah kepada ekonomi,” ujarnya.

Kredit Foto: INTAN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi