Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 yang berlangsung pada hari ini bertujuan memperkukuh agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) melalui pelibatan penjawat awam, akademia dan pihak swasta.
Program ini dirasmikan oleh Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.
Persidangan ini berjaya menghimpunkan lebih daripada 700 peserta terdiri daripada penjawat awam pada semua peringkat, kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, wakil akademia serta sektor swasta.
Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan MEKA 2025 memberikan tumpuan kepada RMK-13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” sebagai platform memperkukuh kefahaman penjawat awam, akademia dan sektor swasta terhadap dasar serta hala tuju negara antara tahun 2026 hingga tahun 2030.
Beliau menekankan bahawa penetapan hala tuju dan strategi yang tepat mampu membawa kejayaan cemerlang dengan syarat semua pihak berganding bahu sebagai satu entiti yang utuh tanpa mengamalkan silo, khususnya bagi melaksanakan inisiatif merentas kementerian.
Persidangan dua hari itu turut menampilkan lebih daripada 15 tokoh pembuat dasar daripada kerajaan, universiti, industri dan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang mengupas kandungan utama RMK-13 seperti meningkatkan kerencaman ekonomi, memperkukuh tatakelola baik, mengangkat negara berteraskan kecerdasan buatan (AI), meningkatkan mobiliti sosial serta kesejahteraan rakyat.
Sepanjang dua tahun pelaksanaan Ekonomi MADANI, Malaysia mencatatkan perkembangan positif termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4 peratus pada separuh pertama tahun 2025, perdagangan negara mencecah RM1.46 trilion, kadar inflasi menyederhana kepada 1.3 peratus pada Ogos 2025 serta kadar pengangguran turun kepada 3.0 peratus.
Purata pendapatan bulanan isi rumah turut meningkat kepada RM9,155 pada tahun 2024 berbanding dengan RM7,901 pada tahun 2019.
Pencapaian ini menjadi asas kepada Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober 2025 sebagai belanjawan pertama mendukung pelaksanaan RMK-13.
Kerajaan turut menegaskan kejayaan RMK-13 bergantung pada kerjasama erat semua pihak, manakala penjawat awam digesa menghayati semangat RMK-13 serta mengamalkan tatakelola terbaik demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat.
Program MEKA akan diteruskan ke INTAN Wilayah Selatan, Timur, Utara, Sabah dan Sarawak bagi memperluas liputan serta memastikan pelibatan menyeluruh penjawat awam pada peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan.