Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) akan menjadi pemacu utama pembangunan negara yang lebih inklusif, seimbang dan mampan berteraskan nilai MADANI dengan penekanan kepada reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan ekonomi berasaskan teknologi.
Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis pembukaan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 yang bertemakan “RMK-13: Melakar Semula Pembangunan” anjuran bersama-sama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Kementerian Ekonomi, hari ini.
Menurut beliau, RMK-13 dirangka secara menyeluruh dengan pelibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat. Pendekatan ini bertujuan memastikan dasar yang digubal bersifat terangkum, mampan dan sejajar dengan aspirasi rakyat.
Pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI sejak beberapa tahun lalu telah menunjukkan kemajuan ketara. Pada separuh pertama tahun 2025, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 4.4 peratus yang didorong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan pelaburan yang lebih rancak.
Malaysia juga dijangka mengekalkan kadar pertumbuhan sekitar lima peratus setahun meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global. Nilai perdagangan bagi separuh pertama tahun 2025 mencatatkan RM1.46 trilion, manakala akaun semasa merekodkan lebihan sebanyak RM17 bilion.
Inflasi kekal terkawal pada paras 1.3 peratus (Ogos 2025), sementara kadar pengangguran menurun kepada tiga peratus berbanding dengan 3.2 peratus pada tempoh sama tahun lalu. Purata pendapatan isi rumah turut meningkat kepada RM9,155 pada tahun 2024 berbanding dengan RM7,901 pada tahun 2019, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun kepada 5.8 peratus.
Amir Hamzah menjelaskan bahawa RMK-13 memberikan tumpuan kepada empat tonggak utama, iaitu mempercepat kepelbagaian ekonomi dengan fokus kepada sektor bernilai tinggi, memperluas peluang bagi meningkatkan mobiliti sosial, melaksanakan reformasi perkhidmatan awam secara cekap, serta memastikan pembangunan yang seimbang antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Sebanyak 27 keutamaan strategik turut digariskan merangkumi peralihan kepada ekonomi digital, pembangunan aset kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, serta pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi tempatan.
“Reformasi di bawah RMK-13 diyakini mampu membawa Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi dan menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam tempoh sedekad,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan keberkesanan penyampaian dasar kerajaan.
MEKA 2025 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan lebih daripada 700 peserta, termasuk penjawat awam, ahli akademik, pemain industri dan wakil agensi antarabangsa. Program ini menjadi platform strategik bagi memperkukuh pemahaman terhadap dasar ekonomi negara, khususnya berkaitan dengan pelaksanaan RMK-13.