Diterbitkan pada 24 September 2025, 13:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bayan Lepas – Kerajaan melaksanakan Sesi Libat Urus (SLU) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026–2030 Zon Utara sebagai usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi merealisasikan pelaksanaan pelan pembangunan negara.

SLU Wilayah Utara yang diadakan di Bayan Lepas ini merupakan yang pertama selepas RMK-13 diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2025 dan Dewan Negara pada 3 September 2025.

Program ini bukan sahaja berkongsi hala tuju pembangunan negara lima tahun akan datang, malah memastikan perancangan yang digariskan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Menteri Kewangan II merangkap pemangku Menteri Ekonomi, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, RMK-13 digerakkan melalui empat tonggak utama, iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat agenda reformasi perkhidmatan awam serta mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar. Empat tonggak ini disokong oleh 122 strategi, lebih daripada 600 inisiatif serta 162 petunjuk prestasi utama (KPI) nasional.

“RMK-13 bukan sekadar tentang mencapai status negara berpendapatan tinggi, tetapi memastikan seluruh rakyat di kota dan di desa, dari Perlis hingga Perak menikmati kehidupan yang selesa serta peluang saksama untuk maju,” ujar beliau.

Kerajaan turut memperuntukkan RM611 bilion sepanjang tempoh RMK-13 meliputi RM430 bilion peruntukan pembangunan (DE), RM120 bilion pembiayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta RM61 bilion melalui perkongsian awam-swasta (PPP).

Fokus pengagihan DE akan diberikan kepada enam negeri kurang membangun, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu. Semua projek yang telah diluluskan di bawah RMK-12 akan diteruskan, manakala pemilihan projek baharu akan dibuat berdasarkan data, keperluan sebenar rakyat dan keutamaan negeri.

YB Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan Kementerian Ekonomi komited menjadikan SLU sebagai pendekatan menyeluruh supaya tiada golongan tercicir daripada manfaat hasil perancangan lima tahun ini.

Sesi penerangan dan SLU RMK-13 akan diteruskan ke zon lain termasuk semua negeri dan kementerian secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi