Diterbitkan pada 25 September 2025, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Darwin – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mempergiat usaha membangunkan dan melestarikan sektor ternakan negara melalui kerjasama strategik dengan Wilayah Utara, Australia.

Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak mengetuai delegasi kementerian dalam lawatan kerja ke ladang ternakan dan rumah penyembelihan milik Central Agri Group/Rum Jungle Meats di Batchelor, Wilayah Utara.

YBhg. Datuk Seri Isham Ishak melawat ladang ternakan dan rumah penyembelihan milik Central Agri Group/Rum Jungle Meats.

Lawatan ini bertujuan meneroka potensi kerjasama dalam bidang penternakan lembu serta pembekalan produk berasaskan daging lembu atau lembu hidup.

Menurut beliau, kerjasama tersebut akan memberikan manfaat langsung kepada Malaysia bagi menyokong sasaran tahap sara diri (SSL) 50 peratus pengeluaran daging lembu sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021–2030.

Faktor persamaan persekitaran tropika antara Malaysia dengan Wilayah Utara, Australia turut membuka peluang bagi menjayakan inisiatif ini.

Dalam rangka lawatan, YBhg. Datuk Seri Isham turut mengadakan perbincangan dengan Pemangku Ketua Menteri Kerajaan Wilayah Utara Australia, TYT Gerard Maley yang juga Menteri Pertanian serta wakil Jabatan Pertanian dan Perikanan Wilayah Utara.

Perbincangan menumpukan kepada pengukuhan hubungan pertanian dua hala termasuk potensi pelaksanaan progam pertukaran teknikal antara kedua-dua negara.

Delegasi turut berkesempatan melawat Tou’s Garden, ladang mangga terbesar di Wilayah Utara yang mempunyai sekitar 85,000 pokok. Lawatan ini mencerminkan komitmen holistik KPKM bagi membangunkan industri agromakanan, khususnya melalui amalan hortikultur moden seperti sistem fertigasi komprehensif dan pengurusan ladang berkesan.

Delegasi Malaysia melawat Tou’s Garden, ladang mangga terbesar di Wilayah Utara.

Delegasi KPKM turut disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, serta pegawai kanan KPKM termasuk pegawai Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Sydney.

Lawatan ini membuktikan usaha proaktif KPKM untuk terus memperkukuh pembangunan dan kelestarian sektor pertanian serta ternakan negara melalui kerjasama antarabangsa.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi