Diterbitkan pada 24 September 2025, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Selangor meletakkan sasaran untuk muncul sebagai hab industri kreatif serantau menerusi pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035, suatu strategi 10 tahun yang menjadikan kreativiti sebagai pemacu utama ekonomi baharu negeri.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri, YB Mohd Najwan Halimi berkata, pelan itu menyasarkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM20 bilion menjelang tahun 2035 dengan tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu pertumbuhan kreatif mampan, penyertaan inklusif dan pemeliharaan warisan budaya.

YB Mohd Najwan Halimi ketika ditemuramah oleh wartawan.

Beliau berkata, meskipun sumbangan semasa Selangor kepada KDNK ekonomi kreatif negara berjumlah RM2 bilion, angka itu membuktikan negeri berkenaan mampu memberikan impak positif terhadap pertumbuhan nasional.

“Ekonomi kreatif bukan lagi sekadar seni dan budaya, sebaliknya mampu mencipta pekerjaan bernilai tinggi, memacu inovasi, mengukuhkan pelancongan serta membina identiti global bagi Selangor. Bermula tahun hadapan, kita akan melaksanakan program latihan dan pendedahan kepada usahawan tempatan agar lebih memahami realiti pasaran serta peluang eksport,” ujar beliau ketika berucap semasa majlis pelancaran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor (SCEE) 2025, di sini semalam.

Enam pemangkin utama dikenal pasti untuk menjayakan pelan ini, iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, akses pasaran dan tadbir urus mantap.

Pelancaran pelan tersebut turut bertepatan dengan penganjuran SCEE25 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam yang dirasmikan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Dengan tema “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy”, ekspo dua hari ini berfungsi sebagai platform penggerak insiatif pelan berkenaan melalui sesi dialog terbuka, forum, bengkel dasar, pemadanan perniagaan (CRE8Biz Xchange), Dana Mikro Kreatif Selangor (CRE8Fund), serta pameran bakat kreatif (CRE8Stage).

Ekspo julung kali anjuran bersama antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Selangor Youth Community (SAY) ini turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara pemain industri, pelabur, agensi kerajaan dan usahawan kreatif bagi memperkukuh kerjasama strategik merentas sektor.

Kredit Foto: Selangor Youth Community
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi