Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia dan Palestin telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
MoU bersejarah itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YBhg. Dato’ Hairil Yahri Yaacob mewakili Kerajaan Malaysia dan Duta Besar Negara Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dengan disaksikan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menteri MITI, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjanjian ini mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya.
“Malaysia berdiri teguh di belakang Palestin untuk membantu membina semula ekonomi mereka. MoU ini ialah bukti visi bersama kami untuk mewujudkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang mampan,” ujar beliau.
Kerjasama tersebut memberikan tumpuan kepada beberapa sektor utama termasuk industri halal, ekonomi digital, pelancongan, tenaga dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Malaysia turut bersetuju pada prinsipnya untuk mengecualikan beberapa produk pertanian dan makanan Palestin daripada duti kastam.
Selain itu, MoU ini melibatkan pembangunan zon perindustrian, pertukaran kepakaran, latihan dan menggalakkan perkongsian sektor swasta antara kedua-dua negara.
Pada tahun 2024, Palestin berada di kedudukan ke-15 sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat. Eksport utama Malaysia ke Palestin termasuk barangan plastik dan makanan diproses, manakala import utama dari Palestin ialah produk pertanian seperti kurma.
Melalui kerjasama ini, Malaysia berharap dapat membantu Palestin mencapai aspirasi pembangunannya sambil memajukan prinsip perpaduan dan kemakmuran bersama yang dikongsi oleh kedua-dua negara.