Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDarwin – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneroka peluang kerjasama baharu di Utara Australia menerusi lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak.
Beliau yang mengetuai delegasi KPKM ke Charles Darwin University (CDU) turut disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, pegawai kanan KPKM serta pegawai Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) di Sydney, Australia.
Dalam pertemuan bersama-sama pimpinan CDU yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Hubungan Komuniti), Profesor Steve Rogers, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka kerjasama teknikal dan penyelidikan dalam bidang ternakan, akuakultur dan tanaman.
Faktor persamaan persekitaran dan cuaca antara Malaysia dengan Darwin dilihat sebagai pemangkin kepada potensi kerjasama tersebut.
Delegasi turut dibawa meninjau makmal di bawah Research Institute for Northern Agriculture (RINA) yang menampilkan aktiviti penyelidikan terkini universiti itu.
Terdahulu, YBhg. Datuk Seri Isham merasmikan International Symposium on Tropical Fruits (ISTF) 2025 di CDU. Simposium tahunan anjuran International Tropical Fruits Network (TFNet) itu menjadi platform global bagi perkongsian kepakaran, perbincangan teknikal dan pembangunan strategi bagi memajukan industri buah-buahan tropika.
Selaras dengan tema ISTF 2025, iaitu “Advancing the Global Production and Trade of Minor Tropical Fruits for Sustainable Markets”, beliau menegaskan bahawa peningkatan permintaan global terhadap buah-buahan tropika dipacu oleh kesedaran pengguna mengenai pemakanan sihat.
Tambah beliau, buah-buahan tropika bukan sahaja warisan budaya, malah berpotensi membuka ruang perdagangan baharu, meningkatkan ekonomi komuniti luar bandar serta menyokong aspirasi keterjaminan makanan negara.
Malaysia turut diwakili oleh empat pembentang pada hari pertama ISTF 2025. Antara topik yang dibincangkan termasuklah potensi durian sebagai buah tropika berdaya saing, penerimaan pasaran terhadap teknologi pelanjutan jangka hayat rambutan, analisis kos eksport dan rantaian bekalan limau bali, serta gambaran mengenai sektor pertanian Australia.
Program delegasi KPKM diakhiri dengan lawatan ke Berrimah Livestock Export Yards, sebuah fasiliti kuarantin praeksport lembu hidup yang dikendalikan Northern Territory Livestock Exporters Association Inc. (NTLEA).

Lawatan ini memberikan peluang kepada KPKM untuk mempelajari amalan terbaik pengurusan logistik dan kesejahteraan haiwan bagi memperkukuh industri ternakan tempatan.
Melalui penyertaan dalam simposium antarabangsa dan lawatan kerja ini, KPKM menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama sedia ada dan meneroka peluang baharu bagi memartabatkan sektor pertanian negara pada peringkat global.