Diterbitkan pada 3 September 2025, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jelebu – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu mengadakan lawatan kerja ke Skim Padi Triang Ilir di Kampung Sungai Buloh, Mukim Triang Ilir, Jelebu, Negeri Sembilan yang menjadi antara lokasi tumpuan pembangunan pertanian di daerah ini.

Visi pembangunan Jelebu, iaitu “Jelebu Daerah Biodiversiti: Daerah Mampan, Berdaya Maju dan Sejahtera” menjelang tahun 2035 seperti yang digariskan oleh PLANMalaysia.

Dalam kerangka tersebut, sektor pertanian menjadi satu daripada fokus utama meliputi 40.5 peratus daripada keseluruhan keluasan daerah.

Bagi Skim Padi Triang Ilir, sebanyak 107 peserta terlibat dengan keluasan sawah berdaftar meliputi 201.90 hektar dan 194.26 hektar daripadanya telah diusahakan. Pada tahun 2024, skim ini mencatatkan hasil purata 4,149 kilogram sehektar.

Bagi tahun 2025, kawasan ini menerima insentif berjumlah RM1 juta di bawah “Program Insentif Pelestarian Sawah Nogori” sebagai sokongan kepada pengeluaran padi yang lebih mampan.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperkukuh pengeluaran padi negeri sejajar dengan agenda nasional bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) bekalan beras negara.

Secara keseluruhannya, Negeri Sembilan menerima peruntukan RM19.03 juta daripada KPKM pada tahun 2025. Peruntukan ini disalurkan melalui kerajaan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan dengannya bagi memperkukuh pembangunan sektor pertanian di negeri ini.

Terdahulu YB Menteri turut meninjau Skim Padi Triang llir dan diberikan taklimat berhubung projek ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu meninjau Skim Padi Triang llir.

Lawatan ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ M K Ibrahim Abd Rahman; EXCO Kanan Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, YB Dato’ Ir. Haji Bakri Sawir; Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, serta pegawai kanan KPKM dan negeri.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi