Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PNB Research Institute Sdn. Bhd.(PNBRI) bagi mewujudkan kerjasama strategik demi memperkukuh penyelidikan dalam sektor agromakanan negara.
Majlis pemeteraian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, manakala PNBRI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBrs. Dr. Sarena Che Omar dan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Datuk Seri Haji Mohamad Sabu serta Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda di Menara Merdeka 118.
Melalui MoU ini, KPKM akan membuka akses data penting agromakanan negara kepada PNBRI untuk tujuan analisis dan penyediaan pemahaman relevan mengenai sektor agromakanan.
Penyelidikan dan analisis ini bermula dari tahun 2025 hingga tahun 2027 meliputi perkongsian kepakaran penyelidikan dalam sektor agromakanan, pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian, dan pemanfaatan data Banci Pertanian 2024.
Kerjasama ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) yang bertujuan memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi sektor agromakanan, menyokong agenda digitalisasi pertanian, membuka peluang baharu serta membantu merangka hala tuju jangka masa panjang sektor pertanian negara.
YBhg. Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen kerajaan bagi memodenkan sektor pertanian dan membuka ruang perkongsian awam serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) bagi pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara.

Beliau yakin kepakaran PNBRI dalam analisis data dan penyelidikan ekonomi dapat memperkukuh usaha kerajaan melonjakkan sektor agromakanan ke tahap yang lebih berdaya maju.
Sementara itu, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, kolaborasi antara PNBRI dengan KPKM mencerminkan komitmen PNB terhadap agenda pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK–13). Usaha ini khususnya bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi inklusif melalui pendekatan kolaboratif antara GLIC dengan kerajaan.

PNBRI, anak syarikat milik penuh PNB yang ditubuhkan pada 19 Januari 2012 menjalankan penyelidikan dalam aspek keterjaminan makanan menerusi kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan bagi membantu pertumbuhan dan kelangsungan ekonomi negara.
Sebagai institusi yang komited terhadap mandat untuk memperkasakan kekayaan bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, PNB terus berusaha memenuhi matlamatnya bagi mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat merentas generasi.