Diterbitkan pada 12 September 2025, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) berjaya mengutip cukai tambahan berjumlah RM16.95 bilion hasil pelaksanaan audit dan siasatan percukaian berdasarkan teknologi analitik serta kolaborasi strategik bersama-sama agensi penguatkuasaan.

Menurut rekod, jumlah berkenaan melibatkan 1,033 syarikat dengan kutipan RM15.20 bilion dan 321 individu yang menyumbangkan RM1.75 bilion. Hasil ini membuktikan keberkesanan strategi penguatkuasaan HASiL bagi mengesan ketidakpatuhan cukai tanpa mengira saiz perniagaan atau status individu, sekali gus memperkukuh integriti sistem percukaian negara.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, kejayaan tersebut didorong oleh pendekatan berasaskan data, penggunaan teknologi terkini dan tindakan penguatkuasaan yang lebih adil serta terancang.

Beliau turut menasihati pembayar cukai agar tidak menunggu sehingga kesalahan mereka dikesan melalui audit atau siasatan kerana tindakan itu boleh membawa kepada penalti yang lebih tinggi.

Bagi yang tampil membuat pengakuan sukarela sebelum audit dijalankan, kadar penalti hanya dikenakan antara 10 peratus hingga 15 peratus berbanding dengan kadar lebih tinggi jika kesalahan terbukti melalui siasatan.

HASiL menegaskan maklumat percukaian yang dikemukakan perlu sentiasa tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

HASiL optimis bahawa penguatkuasaan yang konsisten disokong dengan teknologi progresif mampu membina kerangka fiskal yang lebih adil dan berdaya tahan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan kesejahteraan rakyat.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi