Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCID) dan International Commission on Irrigation and Drainage (ICID) menganjurkan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa (IEC) ke-76.
Program ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini di World Trade Centre, Kuala Lumpur. Persidangan ini berlangsung dari 7 September 2025 hingga 13 September 2025 dan dihadiri oleh lebih daripada 1000 orang tetamu.
Penganjuran ini amat bermakna kerana Malaysia kembali menjadi tuan rumah persidangan pengairan bertaraf antarabangsa selepas hampir dua dekad sejak kejayaan menganjurkan Persidangan Serantau Asia (AsRC) ke-3 dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa (IEC) ke-57. Hal ini sekali gus menjadi peluang terbaik untuk mengangkat nama negara pada persada dunia dalam bidang pengairan, saliran dan keterjaminan makanan.
Forum berprestij ini menghimpunkan lebih daripada 500 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk penggubal dasar, agensi kerajaan, sektor korporat, penyelidik dan komuniti petani dengan tema “Is Irrigation a Sunset Industry?”.
Antara agenda utama forum ini termasuklah Mesyuarat Kumpulan Penasihat Peringkat Tinggi (HLAG) ke-3 yang turut disertai menteri pertanian dan sumber air serta pengurusan tertinggi dari negara anggota ICID bagi merangka dasar mampan demi menghadapi cabaran perubahan iklim dan permintaan sumber air yang semakin meningkat.
Selain mesyuarat dan sesi plenari, pelbagai bengkel, pameran dan lawatan teknikal turut diadakan. Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak menyampaikan ucaptama bertajuk “Is Irrigation A Sunset Industry?” dalam Sesi Plenari 1.
Forum ini turut mendapat sokongan daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan Malaysia Airlines sebagai Rakan Rasmi Syarikat Penerbangan (Supporting Airlines Partner).

Majlis ini turut dihadiri oleh Presiden ICID, YBrs. Dr. Marco Arcieri; Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran (BPSP), KPKM, YBrs. Ir. Yuslina Mohd Sani; Setiausaha Agung ICID, YBrs. Dr. R. K. Gupta; delegasi dari negara anggota ICID serta pegawai kanan KPKM dan agensi berkaitan dengannya.