Diterbitkan pada 8 September 2025, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang dan pengurusan hutang merupakan perkhidmatan yang akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah fasa 1 pelaksanaan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP).

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), RUUKP diluluskan di Dewan Negara pada 4 September 2025 selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Lim Hui Ying. Akta ini akan menjadi undang-undang induk bagi memantau aktiviti kredit pengguna melalui semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan [Regulatory and Supervisory Authority (RSA)].

RUUKP 2025 digariskan sebagai langkah reformasi penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta menyusun semula landskap kredit negara.

Sementara itu, YB Lim Hui Ying berkata, Kerajaan MADANI tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tatakelola demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin.

Beliau menambah, keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

MoF menjelaskan bahawa akta itu dijangka diwartakan pada akhir tahun ini dan akan menyediakan perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika.

Pada masa yang sama, RUU ini mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.

RUUKP 2025 turut membuka laluan kepada penubuhan SKP sebagai badan bebas untuk mengawasi dan mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini beroperasi tanpa kawal selia.

SKP juga diberi empat fungsi utama, iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan dengan kredit pengguna; membantu kerajaan membentuk dasar kebangsaan berkaitan dengan kredit pengguna; menggalakkan amalan yang adil, profesional dan bertanggungjawab oleh penyedia kredit serta menyokong perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi