Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat semalam sebagai komitmen kerajaan bagi memperkukuh perlindungan, kebajikan dan hak kira-kira 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim telah membentangkan bacaan kali kedua dan ketiga serta memberikan penjelasan menyeluruh mengenai RUU tersebut yang mengandungi 112 fasal dan dibahagikan kepada 10 bahagian dengan penekanan terhadap aspek utama.
Empat aspek utama RUU berkenaan ialah definisi jelas pekerja gig sebagai asas pengiktirafan status pekerjaan, mekanisme pendapatan yang lebih adil, termasuk penetapan kadar bayaran minimum yang sesuai dengan kos sara hidup melalui Majlis Perundingan secara rundingan tiga pihak yang melibatkan wakil pekerja gig, entiti kontrak dan kerajaan.
Aspek lain meliputi mekanisme penyelesaian pertelingkahan berperingkat melalui penubuhan Tribunal Pekerja Gig sebagai badan kuasa kehakiman khusus dan perlindungan keselamatan sosial menerusi kewajipan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada pendapatan pekerja yang diuruskan oleh penyedia platform.
Proses caruman dipermudah secara digital dengan penyedia platform berperanan sebagai penghubung untuk mendaftarkan serta melaksanakan caruman secara automatik bagi pihak pekerja.
RUU ini turut memperincikan takrif “pendapatan” dan kewajipan mekanisme kilanan dalaman dalam setiap perjanjian perkhidmatan bagi melindungi pekerja gig serta memperkukuh tadbir urus industri. Melalui mekanisme ini, isu boleh diselesaikan secara telus pada peringkat dalaman sebelum dibawa kepada Pendamai atau Tribunal.
KESUMA menjelaskan, entiti kontrak di bawah RUU ini merangkumi penyedia dan bukan penyedia platform yang menawarkan perkhidmatan seperti lakonan, perfileman, muzik, estetik, terjemahan, kewartawanan, penjagaan sebelum atau selepas bersalin, penjagaan paliatif, penjagaan warga emas, pemulihan, fotografi dan videografi. Jadual tersebut boleh dipinda melalui perintah Menteri dari semasa ke semasa.
Tribunal Pekerja Gig ditubuhkan sebagai badan kuasa kehakiman khusus untuk mendengar pertikaian pekerja gig, termasuk kes yang dirujuk oleh pendamai atau menteri dengan memberikan award yang mengikat dan mempunyai kuasa perintah seperti mahkamah sesyen.
Selain itu, Majlis Perundingan turut diwujudkan sebagai mekanisme penting bagi memastikan suara semua pihak dalam ekonomi gig diambil kira secara seimbang, berstruktur dan menjadi platform dialog, rundingan serta nasihat berkaitan dengan dasar.
Dengan peruntukan ini, RUU berkenaan bukan sahaja melindungi pekerja dalam sektor p-hailing dan e-hailing, tetapi juga meliputi pelbagai sektor profesional dan kreatif yang menggunakan model pekerjaan gig.
Menurut KESUMA, kelulusan RUU Pekerja Gig 2025 memperkukuh kedudukan pekerja gig dalam landskap perburuhan negara melalui perlindungan perundangan yang jelas tanpa menjejaskan fleksibiliti dan ekosistem sedia ada.
Pekerja gig kekal fleksibel dari segi cara dan masa bekerja tanpa terikat kepada struktur pekerjaan konvensional, namun tetap dilindungi di bawah peruntukan undang-undang. Hal ini membuktikan kesungguhan kerajaan menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI demi keterangkuman, kesejahteraan dan keadilan sosial untuk semua pekerja.
RUU Pekerja Gig 2025 turut dianggap sebagai hadiah sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 yang melambangkan perjuangan berterusan kerajaan demi memperjuangkan perlindungan, keadilan dan maruah pekerja gig di Malaysia.