Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited menerajui tonggak penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pemerkasaan sektor ketiga dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick berkata, penskalaan PMKS akan dilaksanakan melalui pengukuhan model perniagaan PMKS dan penambahbaikan ekosistem PMKS.

“Sementara itu, pemerkasaan sektor ketiga pula melibatkan usaha memperkukuh daya tahan pemain sektor, meningkatkan keterlihatan dan melipatgandakan penyertaan syarikat dalam perniagaan inklusif,” ujar beliau.

Beliau turut mengalu-alukan pembentangan RMK-13 2026–2030 oleh Perdana Menteri, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.

Menurut beliau, RMK-13 berwawasan melakar semula pembangunan negara yang inklusif, mampan dan bertanggungjawab mencakupi kerencaman ekonomi, mobiliti sosial, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar ke arah merealisasikan Malaysia MADANI.

Jelas beliau, keberhasilan tonggak berkenaan akan dipandu oleh pelbagai dasar dan pelan strategik termasuk Dasar Keusahawanan Nasional, Dasar Francais Negara, Dasar Koperasi Malaysia, Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara, Pelan Strategik PMKS 2030 dan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 yang akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Keberhasilan tonggak ini juga akan didukung oleh reformasi perkhidmatan awam termasuk pelaksanaan ILTIZAM, pemerkasaan GovTech, pemantapan tatakelola, reformasi pengurusan projek dan pengukuhan ekosistem ekonomi sosial,” jelas beliau.

Tambah beliau, usaha ini juga selari dengan proses penggubalan akta koperasi baharu dan pengukuhan strategi pengantarabangsaan industri francais tempatan.

KUSKOP komited menerajui pembangunan gerakan keusahawanan, koperasi dan ekonomi sosial negara melalui pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi pelbagai platform seperti Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan, Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional serta pelbagai majlis perundingan lain yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian, kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan.

Sebagai anggota Kabinet dari Sabah, beliau turut mengalu-alukan komitmen berterusan kerajaan MADANI bagi meningkatkan keseimbangan pembangunan wilayah antara Malaysia Barat (Semenanjung) dengan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), termasuk pembangunan khas sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

“Selagi saya diberi mandat memimpin KUSKOP, saya akan mendukung komitmen ini melalui fokus tambahan di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara – Perspektif KUSKOP,” ujar beliau.

Menurut beliau, agenda pemerkasaan Ekonomi Biru di Sabah merupakan satu pengiktirafan kerajaan MADANI terhadap potensi negeri itu yang bakal menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara di wilayah timur.

Beliau yakin RMK-13 akan membawa Persekutuan Malaysia ke era yang lebih progresif dan lebih baik dalam pelbagai aspek seiring dengan hasrat yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut  menzahirkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada kerajaan MADANI yang berjaya memuktamadkan sembilan daripada 13 tuntutan Sabah dan Sarawak berkaitan dengan MA63.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi