Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan insentif pembajakan dan penuaian padi kepada pesawah dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Kerajaan bersetuju membuat pelarasan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 per hektar kepada RM160 per hektar bagi setiap musim, manakala Insentif Penuaian Padi pula ditetapkan sebanyak RM50 per hektar mulai tahun 2025.
Pelaksanaan insentif pembajakan kepada pesawah melibatkan dua kaedah utama. Pertama ialah pembayaran tunai tambahan sebanyak RM60 per hektar kepada pesawah yang telah menyiapkan kerja membajak dan mengemukakan tuntutan bagi musim pertama tahun 2025.
Kedua ialah pembayaran sebanyak RM160 per hektar melalui mekanisme sedia ada di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), iaitu melalui penyedia perkhidmatan atau pemilik jentera bagi penanaman musim kedua tahun 2025.
Menurut KPKM, proses pembayaran insentif tunai tambahan RM60 per hektar kepada pesawah yang telah menanam pada musim pertama tahun 2025 sedang dimuktamadkan. Senarai nama penerima layak akan diumumkan selepas semua tuntutan oleh penyedia perkhidmatan selesai dikemukakan kepada agensi.
Sementara itu, pembayaran insentif pembajakan sebanyak RM160 per hektar untuk musim kedua tahun 2025 akan dilaksanakan melalui mekanisme sedia ada. Bagi insentif penuaian padi pula, pembayaran sebanyak RM50 per hektar akan diberi setelah kerja penuaian selesai dan tuntutan dibuat oleh pemilik jentera atau penyedia perkhidmatan berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bermula musim kedua tahun 2025.
KPKM turut memaklumkan bahawa agensi kini sedang melaksanakan proses pendaftaran jentuai bagi membolehkan pembayaran dilaksanakan sebaik sahaja kerja penuaian selesai. Kementerian juga mengambil maklum isu kelewatan pembayaran insentif sebelum ini dan kini giat melaksanakan proses pembayaran secara berperingkat kepada pesawah.