Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerian – Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak meninjau projek perintis penanaman jagung bijian di Kampung Labak Tungan, Serian dan Asajaya, Sarawak.
Di Kampung Labak Tungan, projek ini diusahakan oleh koperasi kampung tersebut dengan penyertaan 72 ahli berdaftar. IADA Samarahan turut bertindak sebagai penyelaras serta pemberi khidmat teknikal projek ini, manakala Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKICDA) bertindak sebagai rakan pelaksana.
Inisiatif ini membuktikan potensi pelibatan pihak swasta dan komuniti setempat bagi memperkasakan sektor pertanian, sekali gus menjadi model pelaksanaan penanaman jagung bijian berskala besar bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) jagung bijian negara.
Lokasi projek dipilih kerana strategik dan terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari kilang makanan haiwan (feedmiller) dan kawasan penternakan di Siburan, selain berada di laluan utama Kuching–Serian.
Dalam lawatan tersebut, YBhg. Datuk Seri Isham turut menyampaikan Sijil Pengendalian dan Penyelenggaraan Dron Pertanian (DJI Agriculture Drone Operation and Maintenance) kepada belia tempatan yang terlibat dalam projek berkenaan, sekali gus mengiktiraf pelibatan anak muda dalam sektor pertanian moden.
Selain itu, YBhg. Datuk Seri Isham juga mengadakan lawatan kerja ke Muara Tuang Land District, Asajaya bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek dan membincangkan strategi memperkukuh pengeluaran jagung bijian tempatan.

Asajaya dijangka akan menjadi Jelapang Jagung Bijian Negara seiring dengan kejayaan Chuping, Perlis. Di lokasi ini, lawatan tertumpu pada pembangunan sistem saliran jubin di tanah gambut dalam menggunakan teknologi syarikat Ceteau, Belanda dengan kerjasama Syngenta untuk penyediaan varieti benih yang sesuai bagi pelbagai jenis tanah dan keadaan.
KPKM menegaskan komitmen untuk memperluas projek jagung bijian ke seluruh negara melalui sokongan teknikal, bantuan kewangan dan pembangunan rantaian nilai bersepadu. Usaha ini selaras dengan Dasar Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara yang sedang digubal dengan sasaran meningkatkan tahap SSR secara berperingkat.