Diterbitkan pada 16 Ogos 2025, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Permintaan domestik yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik dunia.

Ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.4 peratus suku kedua 2025. Pencapaian tersebut meletakkan pertumbuhan separuh pertama tahun ini pada paras 4.4 peratus berbanding dengan lima peratus pada separuh pertama tahun 2024. Angka ini berada dalam lingkungan unjuran rasmi antara empat peratus hingga 4.8 peratus.

Permintaan domestik meningkat tujuh peratus pada suku kedua 2025 mengatasi pertumbuhan enam peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya. Lonjakan ini dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang rancak, pasaran buruh yang kukuh, inflasi yang mendatar, serta pelaburan sektor swasta yang memberangsangkan.

Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh prestasi sektor perkhidmatan (5.1 peratus) dan pembuatan (3.7 peratus). Sektor perkhidmatan mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelancongan, manakala pertumbuhan sektor pembuatan pula dipacu oleh pengembangan berterusan dalam industri berorientasikan eksport dan domestik.

Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, meskipun ekonomi global tidak menentu, prestasi Malaysia pada separuh pertama tahun 2025 membuktikan keberkesanan dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Beliau menjelaskan kadar pengangguran menurun kepada tiga peratus berbanding dengan 3.1 peratus pada suku sebelumnya, manakala inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus berbanding dengan 1.5 peratus sebelumnya, sekali gus menggambarkan prospek ekonomi negara yang positif.

Selain itu, ringgit mengukuh sebanyak 5.3 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku kedua 2025, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia. Keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi dan fiskal negara juga terus meningkat. Oleh itu, Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada tahun 2025.

Kementerian Kewangan menegaskan usaha memperkukuh asas domestik akan terus diberi perhatian menerusi Belanjawan 2026. Penekanan khusus akan diberi kepada reformasi ekonomi dan struktural bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

Menurut Kementerian Kewangan lagi, proses merangka Belanjawan 2026 akan melibatkan sesi libat urus menyeluruh bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan di seluruh negara, sejajar dengan Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang baru diumumkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi