Diterbitkan pada 8 Ogos 2025, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kewangan (MoF) mengeluarkan Kenyataan Pra-Belanjawan 2026 dan melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2026 sebagai usaha menyediakan belanjawan tahunan yang inklusif dan telus.

Orang ramai dijemput mengemukakan cadangan melalui portal www.belanjawan.mof.gov.my sehingga 3 Oktober 2025.

Menurut MoF, penerbitan Kenyataan Pra-Belanjawan 2026 selaras dengan amalan global bagi menggalakkan wacana awam dan meningkatkan ketelusan dalam penyediaan belanjawan tahunan. Dokumen tersebut turut menggariskan keutamaan kerajaan bagi Belanjawan 2026 sebagai panduan kepada rakyat untuk menyampaikan input dan cadangan.

Penerbitan kenyataan dan pelancaran portal tersebut susulan Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam.

Perdana Menteri dalam kenyataan sama menegaskan, Belanjawan 2026 memberikan tumpuan kepada penyampaian agenda ekonomi jangka panjang Malaysia, di samping menangani cabaran ketidaktentuan global dan persaingan yang semakin sengit.

“Kerajaan komited mengekalkan momentum pertumbuhan, meningkatkan daya tahan ekonomi dan pada masa yang sama memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui bantuan lebih bersasar berasaskan keberhasilan,” ujar beliau.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Belanjawan 2026 merupakan belanjawan pertama yang mendukung matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Beliau menjelaskan langkah yang dirancang disusun berasaskan tiga tonggak kerangka Ekonomi MADANI, iaitu Menaikkan Siling potensi ekonomi negara, Menaikkan Lantai taraf hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan dan Tatakelola Baik.

Menurut MoF, Belanjawan 2026 memberikan tumpuan kepada transformasi asas perindustrian untuk melonjakkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan mampan. Tumpuan ini termasuk meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global, beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti dan inovasi serta mengurangkan kebergantungan pada model ekonomi kos rendah dan sederhana.

Tambah MoF, Belanjawan 2026 dibina atas kesinambungan usaha terdahulu untuk mengangkat asas kehidupan rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi memberikan kesan langsung kepada kualiti hidup serta menjunjung prinsip keadilan ekonomi dengan menyediakan peluang saksama untuk semua.

Aspirasi belanjawan ini juga merangkumi reformasi sektor awam bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan penyampaian perkhidmatan, menjamin kemampanan fiskal dan mengoptimumkan sumber awam. Antara fokusnya termasuklah memodenkan perkhidmatan awam, memperkenalkan kerangka perundangan baharu, serta memperkukuh integriti dan tatakelola.

MoF menegaskan, pendekatan “demokrasi penyertaan” diterapkan agar limpahan kemakmuran negara dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan antarabangsa.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah akses kepada pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat; pemerkasaan ekonomi bumiputera; pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri tempatan; perlindungan pengguna dan pembeli rumah; serta pemuliharaan khazanah alam.

MoF menambah sesi tersebut menjadi permulaan kepada siri mesyuarat kumpulan fokus untuk memperhalus input Belanjawan 2026. Perdana Menteri juga mengarahkan semua kementerian mengadakan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan masing-masing bagi memastikan belanjawan mencerminkan harapan dan aspirasi rakyat.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Kewangan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi