Diterbitkan pada 2 Ogos 2025, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) mengambil maklum keputusan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menurunkan tarif timbal balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

MITI memaklumkan bahawa rundingan tarif antara Malaysia dengan AS yang bermula pada 6 Mei 2025 telah dimuktamadkan pada 31 Julai 2025.

Keputusan positif ini hasil libat urus berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala, sekali gus mencerminkan tahap hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh antara Malaysia dengan AS sejak lebih 60 tahun lalu.

Menurut MITI, kadar baharu 19 peratus adalah setara dengan kadar tarif negara lain di rantau Asia Tenggara. Kadar ini dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan Malaysia bagi melaksanakan dasar penting demi kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara. MITI menyifatkan pencapaian ini sebagai kejayaan penting hasil proses rundingan yang menyeluruh dan sistematik.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah AS ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan yang boleh dipercayai.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawat di AS, khususnya Pejabat Perwakilan Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan atas kerjasama dan sokongan sepanjang rundingan,” ujar beliau.

Beliau menambah, MITI akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi memanfaatkan peluang daripada kadar tarif baharu ini, didorong oleh kadar pelaksanaan pelaburan diluluskan yang konsisten melebihi 85 peratus, projek infrastruktur yang sedang berjalan dan inisiatif pembangunan yang berimpak besar.

MITI juga bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi menilai kesan tarif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mempelbagaikan pasaran.

Pada masa sama, pelbagai dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Nasional akan terus digerakkan bagi membantu syarikat tempatan meningkatkan automasi, produktiviti serta daya saing, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

MITI turut menekankan bahawa meskipun ekonomi global berdepan cabaran seperti ketidaktentuan dasar perdagangan, risiko tarif dan ketegangan geopolitik, Malaysia kekal berada pada kedudukan kukuh hasil sokongan dasar berterusan serta reformasi industri.

Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan, termasuk Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, kementerian dan agensi berkaitan dengannya, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) serta wakil industri dan badan pemikir.

Dalam tempoh terdekat, MITI bersama-sama agensi berkaitan dengannya akan melaksanakan program jangkauan bagi menjelaskan pelaksanaan kadar tarif baharu terhadap eksport Malaysia ke pasaran AS.

AS merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai RM198.65 bilion serta sumber utama pelaburan asing dengan pelaburan diluluskan mencecah RM32.82 bilion pada tahun 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi