Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan komitmen terhadap masyarakat setempat dengan menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Konvensyen Pengarah Negeri 2025.
Program tersebut dilaksanakan di Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Pasir Putih, Putatan, Sabah.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan HASiL terhadap kesejahteraan masyarakat, selain mengangkat pendidikan sebagai asas pembangunan negara. Program CSR ini memberikan sokongan kepada sekolah yang telah lama berperanan sebagai pusat ilmu di Putatan dengan matlamat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan ceria.
Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah yang dibina pada tahun 1983 pada asalnya merupakan sebuah wakaf surau sebelum dipersetujui untuk dijadikan sekolah agama rakyat. Kini, dengan tenaga pengajar sebanyak 12 guru dan 329 murid, sekolah ini menjadi pusat pendidikan penting bagi masyarakat setempat.
Menerusi program CSR ini, HASiL menyumbangkan wang tunai selain memberikan komitmen berterusan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan di kawasan ini.
Dalam ucapan perasmian dan penyampaian sumbangan, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, peranan HASiL bukan hanya sebagai agensi pemungut cukai, malah beriltizam untuk mengembalikan semula sebahagian hasil kutipan kepada masyarakat melalui inisiatif pendidikan, kebajikan dan pembangunan sosial.
Beliau menambah, program sebegini dapat mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat, sekali gus memupuk rasa kasih sayang dan saling menghormati.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan ialah kunci masa hadapan dan setiap anak bangsa berhak menikmati peluang pembelajaran yang selesa serta menyeluruh. HASiL akan terus menyokong pelaksanaan program kebajikan seumpama ini pada masa hadapan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah HASiL Johor, YBrs. Puan Shifaak Md. Amin; Pengarah HASiL Sabah, YBhg. Datin Dayang Halimah Awang Ahmad; Pengerusi Sekolah Agama Al-Hidayah Pasir Putih, YBrs. Tuan Haji Abdul Kahar Mohd Zain; pengurusan kanan HASiL dan tetamu jemputan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui: