Diterbitkan pada 11 Ogos 2025, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan komitmen bagi memperkasakan penguatkuasaan dan pencegahan ketidakpatuhan cukai melalui pelaksanaan Operasi Pematuhan Cukai (OP) yang dikenali sebagai “OP Titan”.

Operasi selama sepuluh hari bermula 11 Ogos 2025 hingga 22 Ogos 2025 ini berteraskan prinsip profesionalisme dan integriti demi memastikan sistem percukaian negara kekal adil dan telus.

Pelaksanaan OP Titan lanjutan terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan pendekatan undang-undang atau mentafsir undang-undang secara salah bagi mengelakkan cukai. Tindakan manipulatif ini mampu melemahkan asas keadilan dalam sistem percukaian dan perlu ditangani dengan segera.

Fokus utama OP Titan ialah audit terhadap syarikat besar dan multinasional yang berisiko melaksanakan perancangan cukai agresif, tuntutan insentif tidak sah dan transaksi antara kumpulan syarikat berkaitan dengannya. Sebanyak 103 syarikat daripada pelbagai industri telah dikenal pasti untuk diaudit dengan melibatkan penyertaan 313 pegawai HASiL.

Dalam ucapan perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin mengingatkan semua petugas operasi agar berpegang teguh pada tatacara, prosedur dan peraturan yang ditetapkan. Menurut beliau, Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan dan Majikan serta Rangka Kerja Audit Harga Pindahan yang dikeluarkan sebelum ini menjadi panduan penting bagi memastikan proses audit dilaksanakan secara adil, telus dan saksama.

KPE HASiL menyempurnakan gimik perasmian OP Titan dan turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah, TKPE (Cawangan Khas) HASiL.

Tambah beliau, keyakinan awam terhadap sistem percukaian akan meningkat apabila wujud interaksi yang baik antara HASiL dengan pembayar cukai. Hal ini sekali gus mendorong petugas menjalankan amanah dengan penuh dedikasi dan profesional.

Pelaksanaan OP Titan diharap dapat memperkukuh integriti dan keadilan dalam sistem percukaian negara, sekali gus memastikan tahap pematuhan cukai yang berterusan demi memacu kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

KPE HASiL menyempurnakan sesi pelepasan para petugas (flag-off) di pekarangan Kompleks Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), YBhg. Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah Cawangan Industri Khusus, YBrs. Encik Vijayen A/L Nagalingam, serta barisan pengurusan kanan HASiL.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) menerusi talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi