Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sejajar dengan agenda Rancangan Malaysia Ke -13 (RMK-13) untuk merancakkan transformasi digital negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melancarkan sistem perkhidmatan baharu yang dikenali sebagai e-Kompaun yang membolehkan majikan dan pembayar cukai syarikat menyemak, memohon serta menyelesaikan bayaran kompaun secara dalam talian.
Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin bersempena dengan Konvensyen Undang-undang 2025 di cawangan HASiL, Jumaat lalu.
Menerusi kenyataan tersebut, HASiL memaklumkan bahawa mulai 30 Jun 2025, sistem baharu e-Kompaun boleh diakses melalui portal MyTax bagi membolehkan majikan dan pembayar cukai menyemak, memohon serta membuat bayaran kompaun secara dalam talian melibatkan kelewatan bayaran PCB, arahan potongan CP38 dan kegagalan mengemukakan anggaran cukai syarikat melalui Borang CP204.
Berdasarkan prosedur sedia ada, HASiL menjelaskan bahawa sekiranya terdapat kegagalan yang disahkan oleh pihak HASiL, majikan dan pembayar cukai akan menerima notis Pemberitahuan Memulakan Tindakan Pendakwaan (PTP) melalui pos.
“Majikan dan pembayar cukai syarikat yang ingin memohon untuk membuat penyelesaian melalui kompaun dikehendaki menghubungi atau hadir ke Pejabat HASiL bagi mendapatkan bil kompaun sebelum sebarang pembayaran dibuat,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, HASiL turut memperkenalkan kemudahan semakan notis PTP, permohonan serta bayaran kompaun secara dalam talian melalui portal MyTax tanpa perlu hadir ke Pejabat HASiL, dengan bil kompaun dikeluarkan terus dan dokumen rujukan e-Kompaun disediakan untuk dimuat turun menerusi portal https://mytax.hasil.gov.my/.
HASiL optimis bahawa pelaksanaan sistem e-Kompaun akan memperkukuh penguatkuasaan pematuhan cukai secara telus, efisien dan responsif, sekali gus menyokong pencapaian agenda Malaysia Digital 2030.