Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menetapkan kerangka hala tuju pembangunan negara bagi tempoh dari tahun 2026 hingga tahun 2030 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM611 bilion dalam usaha menyusun semula struktur ekonomi serta mengangkat martabat kehidupan rakyat.

Rancangan lima tahun negara yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” itu dibentangkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat pada tengah hari tadi.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, RM430 bilion merupakan anggaran peruntukan daripada kerajaan, manakala pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membabitkan RM120 bilion.

Sementara itu, sokongan pihak swasta pula adalah melalui kaedah perkongsian awam–swasta (PPP) sebanyak RM61 bilion.

Beliau menjelaskan bahawa sebanyak RM227 bilion (52.8 peratus) daripada peruntukan kerajaan akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

Ujar beliau, sektor sosial turut diberikan keutamaan dengan peruntukan RM133 bilion (30.9 peratus), iaitu sektor pendidikan dan sektor kesihatan yang masing-masing menerima RM67 bilion dan RM40 bilion.

“Sektor keselamatan pula akan diperuntukkan RM51 bilion (11.8 peratus), manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion (empat peratus),” katanya dalam pembentangan tersebut.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat tiga dasar utama yang menjadi objektif dalam RMK-13, iaitu memperkukuh tatakelola yang baik, menaikkan siling serta menaikkan lantai.

Kata beliau, tatakelola yang baik menjadi paksi kepada pentadbiran negara bagi memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama serta mengambil kira keperluan rakyat.

“Kerajaan akan meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal,” jelasnya.

Di samping itu, pemerkasaan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor dengan memanfaatkan pendigitalan dan teknologi termaju, khususnya kecerdasan buatan (AI) pula adalah untuk memperkukuh kedudukan ekonomi menerusi kenaikan siling atau bumbung.

“Penekanan akan diberikan kepada pembangunan industri bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik, pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang, serta pengukuhan kedudukan Malaysia pada persada ekonomi dunia.

“Budaya mencipta menjadi agenda terpenting bagi melonjakkan penghasilan produk dan perkhidmatan tempatan yang berdaya saing,” katanya.

Tambah beliau, untuk menaikkan lantai serta meningkatkan kehidupan rakyat, pembangunan yang terangkum dan responsif perlu dilaksanakan.

“Usaha berkenaan akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial negara berteraskan insan MADANI, mempertingkat mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa RMK-13 menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, dipacu oleh permintaan domestik serta pelaburan swasta.

Eksport kasar juga dijangka berkembang pada kadar 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.

Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.

Sasaran berkenaan juga termasuk defisit fiskal Kerajaan Persekutuan diunjurkan menurun secara berperingkat di bawah tiga peratus kepada KDNK, paras hutang kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK, serta jangkaan kadar inflasi kekal stabil dalam lingkungan dua peratus hingga tiga peratus setahun.

“Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi.

“Pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus, manakala kadar pengangguran mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang tahun 2030,” katanya.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi