Diterbitkan pada 6 Julai 2025, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Auckland – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)  julung-julung kalinya menyertai pameran perdagangan antarabangsa The Fine Food New Zealand 2025 (FFNZZ25) yang berlangsung di Auckland Showground, New Zealand dari 29 Jun 2025 hingga 1 Julai 2025.

Pavilion Malaysia mengetengahkan tema “Taste of Malaysia” dan telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Puan Yang Terutama (PYT) Mazita Marzuki pada 29 Jun 2025.

Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri serta EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, YB Dato’ Salbiah Mohamed.

Penyertaan Malaysia melalui Pavilion Malaysia ini menampilkan lapan syarikat tempatan yang memperkenalkan sebanyak 125 produk agromakanan kepada pasaran New Zealand. Antara produk yang diketengahkan termasuklah produk berasaskan durian, kek lapis Sarawak, biskut, produk buah-buahan kering beku, produk kesihatan, aiskrim sejuk beku, minuman dan produk berasaskan nanas.

Selain itu, Kerajaan Negeri Perak juga membawa empat usahawan tempatan untuk turut serta dalam FFNZZ25.

Pameran tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung tempatan menerusi pelbagai aktiviti dan sesi persampelan makanan yang mencuri perhatian ramai. Hasil penyertaan ini, sebanyak 156 pertanyaan perniagaan diterima dengan nilai potensi perdagangan mencecah RM34.36 juta.

KPKM melihat potensi nilai perdagangan sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang melalui peluasan pasaran produk agromakanan Malaysia ke New Zealand.

Dalam usaha memperkukuh hubungan dagang ini, KPKM bersama-sama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan ASEAN New Zealand Business Council telah menganjurkan Business Networking Reception 2025 yang menghimpunkan lebih daripada 60 pengeksport dari Malaysia serta pengimport dari New Zealand.

Dalam majlis tersebut, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, PYT Mazita Marzuki memaklumkan bahawa produk agromakanan Malaysia bukan sahaja enak, malah berkualiti tinggi dan mampu memenuhi permintaan pasaran New Zealand.

Ketua Pengarah FAMA pula menekankan bahawa Pavilion Malaysia turut mempromosikan Malaysia’s Best sebagai satu penjenamaan nasional bagi produk agromakanan premium Malaysia untuk menembusi pasaran baharu seperti di New Zealand.

Hubungan perdagangan antara Malaysia dengan New Zealand kekal kukuh dan dinamik, disokong oleh pelibatan dalam empat Perjanjian Perdagangan Bebas. Melalui kerjasama ini, Malaysia berjaya mempromosikan produk agromakanan tempatan dan memperkukuh jenama Malaysia’s Best pada peringkat antarabangsa.

Dapatan daripada penyertaan usahawan dalam FFNZ25 menunjukkan permintaan tinggi terhadap produk agromakanan Malaysia dalam pasaran New Zealand. Hal ini disumbangkan oleh kualiti premium, keunikan rasa, dan kesesuaian produk dengan cita rasa masyarakat tempatan.

Pavilion Malaysia yang bertemakan “Taste of Malaysia”.

Sehubungan dengan itu, KPKM komited untuk terus menyokong usahawan tempatan meneroka pasaran antarabangsa, khususnya di New Zealand bagi meningkatkan ekonomi negara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi