Diterbitkan pada 24 Julai 2025, 20:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sabak Bernam – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus menyahut aspirasi YAB Perdana Menteri menerusi misi Santuni MADANI dengan menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Santuni MADANI “Satu Pemimpin Satu Kampung” yang berlangsung di Kampung Batu 2, Sepintas (KB2S).

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif CSR Santuni MADANI yang telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Doktor Abdul Latiff (SKDAL), Sabak Bernam pada tahun lalu.

Penganjuran program ini bertujuan memberikan ruang kepada ketua agensi agar lebih cakna, empati dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi oleh penduduk kampung secara langsung.

Pemilihan KB2S bukan hanya sebagai pemenuhan tanggungjawab sosial korporat, tetapi juga sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara HASiL dengan komuniti setempat. Hal ini selaras dengan usaha untuk memastikan tiada golongan masyarakat yang terpinggir, terutamanya dari segi sosioekonomi dan pembangunan.

Menerusi program ini, HASiL telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk manfaat penduduk KB2S merangkumi kerja pembaikan dan menaik taraf Surau Firdausiah yang bermula pada Julai 2025, melibatkan baik pulih struktur fizikal serta kemudahan asas surau bagi keselesaan kariah.

Selain itu, HASiL turut mengagihkan bakul makanan kepada enam buah rumah di bawah Projek Perumahan Rumah Zakat (PPRZ) dan memberikan sumbangan tunai kepada seorang asnaf terpilih.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada seorang daripada enam
penghuni rumah PPRZ.

Majlis perasmian dan penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq menegaskan bahawa HASiL sentiasa mendukung segala usaha yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan pembentukan masyarakat penyayang, seiring dengan aspirasi membina generasi MADANI.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin ketika berucap dalam majlis perasmian sempena Program CSR Santuni MADANI “Satu Pemimpin Satu Kampung”.

Beliau turut berkongsi bahawa komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelaksanaan lapan program CSR sepanjang tahun 2024 yang melibatkan dua penganjuran di Ibu Pejabat HASiL dan enam lagi di HASiL Negeri.

Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat terus diperkasakan seiring dengan dasar pembangunan inklusif negara demi memastikan nilai keprihatinan dan kasih sayang terus tertanam dalam jiwa masyarakat serta memastikan tiada individu yang tercicir daripada agenda kemajuan nasional.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Shaharrudy Othman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), YBhg. Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, YBrs. Encik Shahrul Niza Bishahrin; Pegawai Penyelaras DUN Sabak, YBrs. Tuan Samad Hashim; Ketua Penolong Pegawai Daerah Sabak Bernam, YBrs. Encik Mohd Marwan Ahmad Tajuri; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung merangkap Tok Sidang KB2S, YBrs. Encik Md Subir Md Ali; serta pemimpin komuniti, pegawai HASiL, tetamu jemputan dan wakil penduduk kampung.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama tetamu jemputan dan penduduk KB2S.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi