Diterbitkan pada 23 Julai 2025, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Program Memfail Penyata Keuntungan oleh Suatu Entiti Labuan bagi Tahun Taksiran (TT) 2025 di bawah Sistem Taksir Sendiri (STS) telah dimuat naik dalam portal rasmi HASiL sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.

Dokumen panduan tersebut boleh diakses dengan mudah menerusi dua langkah, iaitu melayari portal rasmi HASiL melalui pautan www.hasil.gov.my dan klik pada menu Borang > Program Memfail Penyata Keuntungan oleh Suatu Entiti Labuan Bagi Tahun Taksiran 2025 di Bawah Sistem Taksir Sendiri.

Bermula TT 2025 yang berasaskan tahun semasa, STS diperkenalkan kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaan Labuan. Langkah ini selaras dengan pindaan kepada Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (ACAPL 1990) melalui Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No. 2) 2024 [Akta A1741].

Perubahan ini bertujuan menyeragamkan sistem percukaian entiti Labuan dengan sistem percukaian yang dilaksanakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

Menerusi pelaksanaan STS, setiap entiti Labuan bertanggungjawab mengemukakan penyata keuntungan dan membayar cukai atau baki cukai yang perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh akhir penutupan tempoh perakaunan yang menjadi asas bagi TT tersebut.

Kegagalan mematuhi ketetapan ini boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah seksyen 23A ACAPL 1990, selain dikenakan kenaikan cukai di bawah seksyen 11 akta yang sama.

Pindaan kepada ACAPL 1990 juga mewajibkan entiti Labuan untuk mengemukakan penyata keuntungan melalui medium atau penghantaran elektronik, serta melaporkan pendapatan dalam penyata keuntungan berdasarkan akaun beraudit seperti diperuntukkan di bawah seksyen 5 dan 10 ACAPL 1990.

Selain itu, maklumat yang dikemukakan dalam penyata keuntungan hendaklah tepat dan benar sebagaimana ditetapkan dalam perenggan 5(3)(b) atau 10(3)(b) ACAPL 1990.

HASiL menasihatkan semua pihak berkepentingan agar membuat persediaan sewajarnya dan merujuk dokumen panduan dalam portal rasmi HASiL bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap pelaksanaan sistem ini.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL melalui pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi