Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 yang bertujuan melindungi kepentingan pengguna kredit secara menyeluruh di negara ini semalam.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Lim Hui Ying.

YB Lim Hui Ying membentangkan RUUKP bagi bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat semalam.

 

Beliau menjelaskan bahawa penggubalan RUUKP ini penting bagi memastikan industri kredit mengamalkan perlakuan yang bertanggungjawab dan pemberian pinjaman yang adil, cekap dan telus.

“RUUKP ini bakal menjadi undang-undang penting bagi melindungi hak pengguna selaras dengan landskap industri kewangan negara yang semakin maju dan kompleks,” ujar beliau.

Beliau berkata, rakyat kini terdedah kepada pelbagai produk kredit pengguna serta penyedia perkhidmatan termasuk yang beroperasi secara digital. Terdapat tawaran tersebut yang memberikan manfaat, namun wujud juga tawaran yang membawa risiko tersembunyi.

Jelas beliau,

Pengguna pada hari ini berdepan dengan pelbagai tawaran pinjaman segera, pembiayaan digital dan skim tertentu yang kelihatan menarik, tetapi mungkin mengandungi risiko hutang tinggi, caj tersembunyi atau melibatkan skim kredit yang tidak sah.

Menurut beliau, tanpa pengurusan yang baik, situasi sedemikian boleh mendedahkan pengguna kepada beban hutang yang tinggi dan penipuan kewangan.

Oleh itu, kerajaan melihat keperluan mendesak untuk mewujudkan kerangka undang-undang yang jelas dan menyeluruh bagi membentuk persekitaran industri kredit pengguna yang adil, teratur dan harmoni.

RUUKP dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini dan akan dilaksanakan secara berfasa.

Pada fasa pertama, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan bagi mengawal selia perniagaan kredit dan perkhidmatan berkaitan dengannya yang tidak berada di bawah pengawasan pihak berkuasa pada masa ini.

Fasa kedua pula melibatkan pemindahan fungsi pengawalseliaan aktiviti kredit pengguna daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada SKP.

Fasa ketiga pula akan memfokuskan pemusatan kawal selia terhadap perlakuan seluruh aktiviti pasaran kewangan di Malaysia yang masih pada peringkat kajian awal oleh pihak kerajaan.

RUUUKP merupakan antara langkah bersepadu kerajaan bagi mentransformasikan landskap pengawalseliaan industri kredit demi memperkukuh perlindungan kepada semua pengguna kredit di negara ini.

Kredit Foto: Facebook Timbalan Menteri Kewangan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi