Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) telah menyalurkan RM11 bilion dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) sehingga 30 Jun 2025 seperti semikonduktor dan peralihan tenaga, di samping inisiatif untuk memperkasakan komuniti terpinggir dan membangunkan bakat tempatan.
Jumlah itu sebahagian besar daripada pelaburan langsung domestik sebanyak RM22 bilion, iaitu bersamaan dengan 88 peratus daripada RM25 bilion yang diberi komitmen oleh enam Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) utama yang menerajui program ini.
Kurang setahun selepas dilancarkan, GEAR-uP juga telah memperoleh komitmen daripada 34 GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan gaji wajar minimum bulanan sebanyak RM3,100 untuk 153,000 pekerja. langkah ini sebagai satu usaha penting bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan merealisasikan agenda nasional untuk reformasi gaji.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kebijakan program GEAR-uP terletak pada keupayaannya menggerakkan GLIC untuk menyahut mandat baharu bagi pembangunan negara.
“Beginilah caranya kita memanfaatkan kekayaan institusi negara, iaitu dengan menyalurkannya untuk memperkasakan masyarakat dan membina ekosistem industri bernilai tinggi,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa martabat negara hanya dapat diangkat apabila seluruh rakyat bangkit bersama seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
GEAR uP menyasarkan untuk menggerakkan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun bagi memacu reformasi sosioekonomi dan transformasi perindustrian negara.
Program ini diterajui oleh enam GLIC utama, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Sejak pelancarannya pada Ogos 2024, enam GLIC utama ini telah melabur lebih daripada RM800 juta dalam ekosistem semikonduktor negara serta memulakan pembangunan hab industri hijau dan pintar seluas 3,000 ekar di Kerian dan Pulau Carey. Selain itu, lebih daripada 50 syarikat dan dana tempatan telah menerima sokongan melalui modal teroka dan ekuiti swasta.
Secara kolektif, mereka juga telah menyalurkan lebih daripada RM200 juta dalam bentuk biasiswa, menyokong lebih daripada 8,000 belia B40 melalui program pembangunan bakat dan penempatan pekerjaan serta melaksanakan pelaburan komuniti sosial yang memberikan manfaat kepada lebih daripada 700,000 rakyat Malaysia.
MOF memaklumkan bahawa antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuklah pelaburan tambahan berjumlah RM11 bilion oleh GLIC, bimbingan PNB kepada 10 syarikat bumiputera berpotensi tersenarai termasuk syarikat portfolio Ekuinas sebagai sebahagian daripada inisiatif kesinambungan bumiputera.
Inisiatif lain seperti KWSP memperluas pelaburan dalam bidang kesihatan dan penjagaan warga emas termasuk pusat rawatan harian, perkhidmatan di rumah dan teknologi kesihatan mampu milik.
Selain itu, LTAT dan PNB memperkukuh pengeluaran farmaseutikal dan biofarmaseutikal tempatan termasuk penghasilan ubat generik yang mampu milik dan berdaya saing selaras dengan reformasi Jawatankuasa Bersama MOF-Kementerian Kesihatan mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang menyasarkan pemodenan penjagaan kesihatan, penarikan pelaburan dan pulangan yang adil.
Khazanah pula terus memperkukuh rantaian nilai semikonduktor melalui pelaburan dalam pembuatan termaju dan kerjasama dengan pemain global.
Dalam masa yang sama, KWAP akan memulakan pengagihan RM6 bilion di bawah Dana Pemacu bermula suku ketiga 2025 dalam ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah bagi tempoh empat tahun hingga lima tahun akan datang, manakala Dana Perintis Siri 2 dijangka dilancarkan pada suku keempat 2025.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GEAR-uP bukan sekadar penyaluran modal, tetapi merupakan satu penjajaran strategik.
“Kami membuka peluang bernilai RM120 bilion untuk memajukan industri masa hadapan, meningkatkan pendapatan dan membina upaya serta merealisasikan kemakmuran yang dikongsi bersama,” ujar beliau.
Beliau menambah bahawa inisiatif ini merupakan cara untuk menterjemahkan transformasi ekonomi kepada hasil yang nyata. Langkah ini bukan sekadar untuk memperkukuh asas ekonomi semata-mata, malah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan melahirkan juara serantau dalam industri berteknologi tinggi.
MOF turut menjelaskan bahawa GEAR-uP akan diperluas kepada lebih daripada 30 GLC di bawah GLIC dengan sasaran mencapai gabungan nilai pasaran RM100 bilion, menjanakan pulangan pemegang saham sebanyak 7.5 peratus serta menyokong hasil bukan kewangan seperti pelaksanaan gaji kehidupan minimum, perkembangan usahawan bumiputera, pembangunan bakat dan kepimpinan masa hadapan.