Diterbitkan pada 1 Julai 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus giat memperkukuh pelaksanaan e-Invois yang kini beralih ke Fasa Ketiga mulai 1 Julai 2025 dengan penganjuran Majlis Pelancaran Pelaksanaan e-Invois Fasa Ketiga yang berlangsung di Menara HASiL, Cyberjaya.

Pelaksanaan ini melibatkan lebih daripada 50,000 pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Shaharrudy Othman dalam ucapan perasmian mengingatkan bahawa tempoh kelonggaran pembayar cukai Fasa Kedua telah tamat pada 30 Jun 2025 dan mereka perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan e-Invois mulai 1 Julai 2025.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kelayakan penggunaan kemudahan Sistem MyInvois e-POS, iaitu platform digital Point-of Sale (POS) secara percuma telah diperluas dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM250,000 kepada ambang baharu, iaitu jualan atau perolehan tahunan di bawah RM750,000.

Tambah beliau lagi, sistem MyInvois e-POS ini direka khas untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dengan mengintegrasikan fungsi utama perniagaan seperti perekodan jualan, pengurusan inventori, pelaporan kewangan dan sokongan e-Invois.

Walaupun pelaksanaan mandatori e-Invois bagi pembayar cukai Fasa 5 dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM1 juta hanya akan bermula pada 1 Julai 2026, HASiL menyeru pihak PMKS untuk mengambil peluang menggunakan Sistem MyInvois e-POS seawal mungkin bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta memudahkan pelaksanaan e-Invois sebelum pelaksanaan secara mandatori.

HASiL turut mengalu-alukan penyertaan pembayar cukai untuk hadir ke Kaunter Perkhidmatan HASiL di seluruh Malaysia bagi mendapatkan penerangan ringkas berkenaan pelaksanaan e-Invois dan penggunaan Portal MyInvois yang kini menjadi teras dalam pemodenan sistem percukaian negara.

Di samping itu, HASiL turut memberikan khidmat nasihat dan bantuan penggunaan Aplikasi MyInvois serta MyInvois e-POS bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif ini.

Sebagai maklumat tambahan, HASiL telah menyediakan pelbagai saluran komunikasi bagi membolehkan pembayar cukai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois.

Pembayar cukai dinasihatkan untuk menghubungi saluran khas e-Invois yang disediakan oleh HASiL bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat berkenaan pelaksanaan e-Invois seperti yang berikut:

  1. Berkunjung ke Pejabat HASiL;
  2. Meja Bantuan e-Invois HASiL menerusi talian 03-86828000 (talian 24 jam);
  3. MyInvois Live Chat;
  4. E-mel myinvois@hasil.gov.my bagi pertanyaan umum e-Invois; dan
  5. Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois menerusi pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dan pengurusan kanan HASiL.

Semoga dengan pelaksanaan Fasa Ketiga e-Invois ini mampu memberikan manfaat jangka panjang sepenuhnya kepada semua pihak, khususnya bagi mengurus perniagaan secara strategik dan sistematik demi merealisasikan agenda nasional negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi