Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin pada hari ini merasmikan pelancaran Sistem MSNR Trace sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia bagi memenuhi keperluan kelestarian antarabangsa termasuk Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Pelaksanaan sistem ini menandakan langkah penting Malaysia ke arah mentransformasikan industri getah supaya lebih mampan dan berdaya saing pada peringkat global.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama-sama Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah membangunkan Agenda Nasional Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) yang dilancarkan pada 7 Oktober 2024. Inisiatif ini diperkukuh melalui penghantaran eksport pertama getah Malaysia yang mematuhi standard MSNR ke Kesatuan Eropah pada 12 Disember 2024.
Sejak Januari 2025, pematuhan kepada MSNR diwajibkan terhadap semua pemegang lesen dan permit LGM melalui pemeriksaan dan penguatkuasaan berterusan.
Bagi menyokong pelaksanaan MSNR, LGM turut membangunkan sistem kebolehjejakan menyeluruh yang merangkumi RRIMniaga, RRIMestet dan MSNR Trace.
Sistem ini kini diwajibkan kepada semua penggiat industri getah bertujuan memastikan setiap peringkat dalam rantaian bekalan dapat dikesan dengan teliti sekali gus mematuhi piawaian kelestarian antarabangsa.
Pelaksanaan menyeluruh ini diyakini akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri getah mampan pada peringkat global.