Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia dan negara anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA), iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) pada 23 Jun 2025, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama kelestarian antara Malaysia dengan negara EFTA.
Melalui perjanjian ini, eksport minyak sawit Malaysia akan menikmati pengurangan tarif import menerusi mekanisme kuota tarif dengan pengurangan kadar tarif antara 20 peratus hingga 40 peratus bergantung pada jenis produk. Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) turut ditetapkan sebagai prasyarat utama untuk menikmati kelebihan tarif ini, sekali gus memperkukuh peranan MSPO sebagai pemudah akses pasaran eksport ke negara EFTA.
Sebagai sebahagian daripada MEEPA, kedua-dua pihak turut mengeluarkan Kenyataan Bersama mengenai Minyak Sawit Lestari yang meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan serta mengukuhkan keyakinan terhadap bekalan bersijil MSPO.
Kejayaan ini ialah hasil usaha bersepadu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama-sama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang memainkan peranan penting bagi mendapatkan pengiktirafan EFTA terhadap MSPO.
MEEPA menghasilkan tiga pencapaian utama, iaitu penyediaan pengurangan tarif untuk minyak sawit bersijil MSPO, pengiktirafan antarabangsa terhadap MSPO sebagai standard kebangsaan kelestarian dan pengukuhan komitmen terhadap ketelusan, keberkesanan pengesanan serta rantaian bekalan bebas penebangan hutan.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Johari Abdul Ghani, perjanjian ini menyediakan platform yang lebih kukuh untuk industri sawit Malaysia bersaing dalam pasaran global berasaskan kelestarian sama ada untuk pekebun kecil mahupun pengeluar besar. Hal ini sekali gus mengukuhkan akses pasaran dan kelebihan tarif untuk bekalan bersijil MSPO.
Beliau turut menegaskan bahawa perjanjian ini menjadi rujukan penting dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang sedang berjalan dengan 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, KPK akan terus bekerjasama rapat dengan MITI bagi memastikan kepimpinan kelestarian Malaysia melalui MSPO terus diiktiraf dan dilindungi dalam semua perjanjian perdagangan masa hadapan termasuk dengan EU.
Malaysia kekal komited untuk memacu kemajuan global dalam perdagangan minyak sawit yang lestari, bertanggungjawab dan bebas penebangan hutan dengan MSPO sebagai tunjang utama dalam usaha ini.