Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 24 Jun 2025, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia perlu bersiap siaga dengan pelaksanaan langkah mitigasi yang berkesan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekatan oleh Iran terhadap Selat Hormuz yang berpotensi besar menggugat kedudukan ekonomi global.

Hal ini demikian kerana situasi ketegangan politik antara Iran dengan Israel dan Amerika Syarikat telah meletakkan ekonomi dunia berada dalam ketidakpastian.

Walaupun Parlimen Iran telah meluluskan cadangan untuk mengenakan sekatan sebagai tindak balas, keputusan muktamad masih tertakluk pada Majlis Keselamatan Tertinggi Iran yang setakat ini belum membuat sebarang ketetapan rasmi.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBrs. Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali menyifatkan laluan maritim tersebut umpama “jantung” bagi ekonomi dunia.

“Selat Hormuz memainkan peranan hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak mentah dunia,” ujar beliau ketika diwawancara dalam rancangan Niaga Awani pagi tadi.

Dalam menangani ketidaktentuan ini, beliau berpandangan bahawa Malaysia berada pada waktu yang terbaik untuk melaksanakan peralihan tenaga baharu seperti suria, hidro dan angin secara lebih teliti sebagai strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan pada minyak mentah.

Tambah beliau, kerajaan juga boleh mengambil inisiatif kawalan dalaman melalui penetapan mekanisme harga siling bagi minyak tempatan sebagai usaha mengelakkan tekanan kos terhadap pengguna.

Beliau menjelaskan bahawa sekatan Selat Hormuz bakal mengurangkan penawaran minyak mentah dalam pasaran global, lantas mendorong lonjakan harganya yang memberikan kesan langsung kepada pelbagai negara, termasuk Malaysia.

“Kenaikan harga minyak mentah meningkatkan kos pengeluaran barangan dan makanan, sekali gus menyumbang kepada kadar inflasi yang tinggi, di samping kelembapan pertumbuhan ekonomi sebuah negara,” katanya.

Menyentuh tentang kesan yang bakal dihadapi negara, meskipun kenaikan harga minyak dilihat menguntungkan Malaysia sebagai negara pengeluar, namun hakikatnya kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan untuk menanggung beban subsidi yang besar.

Kenaikan harga minyak yang memberikan kesan langsung kepada kos sara hidup pengguna mendorong kerajaan mengeluarkan belanja tambahan melalui bantuan tunai untuk meringankan beban golongan yang terkesan, terutamanya kumpulan B40.

Mengulas lanjut, negara dalam Kesatuan Eropah dan China yang sangat bergantung pada import minyak dari Timur Tengah, dijangka paling terkesan dengan sekatan tersebut.

“Kebergantungan Kesatuan Eropah terhadap minyak dari Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) amat tinggi, khususnya dari Timur Tengah.

“Jika Selat Hormuz ditutup, negara-negara ini menghadapi kesulitan yang besar, terutamanya menjelang musim sejuk,” tegasnya.

Dr. Nuradli menyatakan bahawa OPEC mempunyai kawalan terhadap kira-kira 30 peratus pengeluaran minyak dunia dan boleh mempengaruhinya melalui dasar pengeluaran bersama.

Menurut beliau lagi, negara Eropah hanya mempunyai pilihan untuk mendapatkan tenaga dari Amerika Syarikat yang merupakan pengeluar minyak yang terbesar di dunia.

“Meskipun China negara pengeluar minyak, negara tersebut tetap menjadi pengimport utama minyak dari Iran,” tambah beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa kemeruapan harga minyak semasa yang tinggi susulan pengumuman terkini gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah memperlihatkan kesan kepada kestabilan ekonomi dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi