Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Lebih daripada 150 syarikat dari Perak kini telah menerima pelbagai manfaat daripada inisiatif perdagangan yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sekali gus membuka laluan untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa secara lebih berstruktur dan mampan.
Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Penutup Hari Eksport Perak 2025, iaitu program kerjasama strategik antara MATRADE dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang berlangsung di Ipoh dan disertai lebih daripada 300 peserta termasuk usahawan tempatan, wakil industri dan agensi kerajaan berkaitan dengannya.
Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dalam ucapannya berkata, pencapaian syarikat dari Perak bukan sekadar kejayaan statistik, tetapi simbol kepada keupayaan dan daya saing industri tempatan.
Jelas beliau,
Sejak pelancaran program pembangunan pengeksport dan kemudahan perdagangan MATRADE pada tahun lalu hingga Mei tahun ini, 150 syarikat dari negeri ini telah menerima manfaat secara langsung dengan peruntukan geran sebanyak RM1.76 juta dan menjanakan hasil eksport sekitar RM124.62 juta.
Menurut beliau, angka ini menunjukkan betapa strategiknya kerjasama antara MATRADE dengan kerajaan negeri Perak, khususnya menerusi program seperti Geran Pembangunan Pasaran (MDG), eTRADE, penyertaan ekspo antarabangsa dan padanan perniagaan.
Lebih memberangsangkan apabila sepanjang tempoh dari tahun 2024 hingga Mei 2025, 782 syarikat Perak telah menyertai pelbagai program latihan eksport MATRADE dengan menjanakan jualan eksport keseluruhan sebanyak RM1.90 bilion, manakala 118 syarikat lain berjaya mengumpul RM1.65 bilion melalui promosi eksport.
YB Dato’ Seri Reezal Merican turut menekankan bahawa potensi negeri Perak untuk menjadi satu daripada hab eksport utama negara amat tinggi berdasarkan peningkatan mendadak prestasi eksport negeri itu.
Jelas beliau,
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, Perak mencatatkan nilai eksport sebanyak RM8.76 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 48.8 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Hal ini merupakan bukti kukuh bahawa syarikat Perak bersedia untuk lebih berdaya saing.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak usahawan tempatan mendaftar dengan MATRADE, menyertai latihan dan misi dagangan luar negara serta memanfaatkan geran dan bantuan teknikal yang disediakan oleh kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STeP, Fadzli Abdul Wahid berkata, STeP akan terus menyokong usahawan Perak dari segi pembangunan kapasiti, strategi pemasaran dan pendedahan antarabangsa.
Tambah beliau,
Kami mahu melihat lebih banyak produk Perak berada di pasaran luar negara seterusnya menjadikan Perak sebagai pusat pengeksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Majlis tersebut turut menyaksikan sesi padanan perniagaan dan pameran produk eksport oleh syarikat tempatan yang telah berdaftar di bawah MATRADE.
YB Dato’ Seri Reezal Merican menutup ucapannya dengan keyakinan:
MATRADE akan kekal sebagai rakan dagang strategik kepada syarikat Malaysia termasuk dari Perak bagi merealisasikan impian untuk menembusi pasaran global secara mampan dan berdaya saing.