Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bakal melaksanakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara strategik dalam operasi huluan (upstream) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kecekapan operasi, kelestarian tenaga dan daya saing global.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, YM Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada hari pertama Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menurut beliau, teknologi AI akan menjadi pemangkin utama kepada pemodenan operasi huluan PETRONAS, khususnya dalam aktiviti cari gali, pengeluaran serta pemantauan telaga minyak dan gas.
Inisiatif ini dijangka menyumbang kepada pengurangan kos operasi, meningkatkan keselamatan di tapak operasi serta memaksimumkan hasil daripada sumber sedia ada. Antara aplikasi AI yang sedang dalam fasa ujian termasuklah model ramalan untuk penyelenggaraan telaga dan algoritma untuk pemetaan geologi berketepatan tinggi.
YM Tan Sri Tengku Muhammad Taufik turut menegaskan bahawa pelaburan dalam AI bukan semata-mata untuk meningkatkan hasil, tetapi juga selaras dengan komitmen PETRONAS terhadap kelestarian dan matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Jelas beliau,
Peralihan tenaga bukan hanya soal beralih daripada fosil kepada tenaga boleh baharu, tetapi juga tentang memanfaatkan teknologi baharu untuk menjadikan tenaga lebih bersih, lebih selamat dan lebih cekap. AI akan menjadi teras kepada transformasi ini.
PETRONAS juga akan bekerjasama dengan syarikat teknologi global dan institusi penyelidikan tempatan bagi membangunkan penyelesaian AI yang sesuai dengan ekosistem operasi tenaga Malaysia. Latihan intensif juga akan diberikan kepada kakitangan sebagai persediaan ke arah pendigitalan industri tenaga.
Pakar industri menyambut baik pengumuman ini dengan Profesor Madya Dr. Azizul Rahman dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) berkata, “Langkah PETRONAS ini membuktikan komitmen jangka panjang mereka untuk menjadi syarikat tenaga yang berteraskan inovasi dan kelestarian.”
Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung dari 17 Jun 2025 hingga 19 Jun 2025 menghimpunkan lebih daripada 3,000 peserta dari lebih 30 negara. Pada tahun ini, tema “Reshaping the Energy Future Through Innovation” memberikan penekanan kepada teknologi digital seperti AI, blok rantai (blockchain) dan Internet benda (IoT) bagi membentuk masa hadapan sektor tenaga.
Dengan inisiatif ini, PETRONAS sekali lagi menunjukkan kepimpinan dalam menerajui perubahan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga pintar Asia Tenggara.