Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jumlah koperasi di Malaysia meningkat dengan jumlah aset keseluruhan mencecah RM173 bilion sehingga Disember 2024.
Statistik terkini menunjukkan sebanyak 16,284 koperasi aktif berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta orang. Koperasi ini berjaya mengumpulkan RM18.3 bilion dalam bentuk syer dan yuran keanggotaan, manakala nilai perolehan tahunan pula mencecah RM68.18 bilion.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick, berkata, pencapaian memberangsangkan ini mencerminkan peranan koperasi sebagai enjin ekonomi rakyat yang semakin kukuh. Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha kolektif pelbagai pihak yang komited untuk memperkasakan ekosistem koperasi negara.
Ujar beliau ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Koperasi 2025 (BKK’25) di Hotel Everly pada semalam,
Pada tahun 2022 sebanyak 898 koperasi telah didaftarkan. Jumlah ini meningkat kepada 1,001 koperasi pada tahun 2023 dan seterusnya kepada 1,005 koperasi bagi tahun 2024. Peningkatan ini mencerminkan kesedaran dan minat masyarakat yang semakin tinggi untuk menjadikan koperasi sebagai gaya hidup.
Bagi memastikan sektor koperasi terus kekal relevan dalam membangunkan sosioekonomi negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini sedang dalam proses menggubal akta baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
Menurut beliau, penggubalan akta baharu tersebut bertujuan untuk memperkasakan gerakan koperasi melalui liberalisasi perundangan dan memperkukuh peranan SKM sebagai badan pengawalseliaan koperasi.
Beliau turut berharap agar akta baharu ini dapat menjadikan koperasi lebih berdaya maju dalam melaksanakan aktiviti perniagaan sekali gus memberikan pulangan terbaik kepada anggotanya.
Ujar beliau,
Bagi menyokong pertumbuhan koperasi, kerajaan memperuntukkan RM100 juta di bawah Tabung Modal Pusingan SKM dengan had siling pembiayaan sehingga RM30 juta kepada koperasi yang berpotensi.
Tambah beliau, sejumlah RM6.75 juta turut diperuntukkan di bawah Program Pembangunan Perniagaan melalui Koperasi 2.0 bagi membantu koperasi menaik taraf infrastruktur perniagaan, manakala RM3 juta lagi disalurkan melalui Program SE.RASI yang menggalakkan koperasi menjadi perusahaan sosial.
Menyentuh mengenai sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan, beliau berkata pemilihan bulan Julai sebagai bulan sambutan koperasi adalah signifikan kerana memperingati sejarah penubuhan koperasi pertama negara serta sejajar dengan pengisytiharan Hari Koperasi Antarabangsa oleh International Co-operative Alliance (ICA).
Beliau berharap penghargaan ini mampu menyuntik semangat dalam kalangan gerakan koperasi untuk terus meningkatkan daya maju dan daya saing ke arah kecemerlangan pada masa hadapan.
Menurut beliau lagi, selaras dengan aspirasi kerangka ekonomi MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat, gerakan koperasi turut memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan meringankan kos sara hidup.
Jelas beliau,
Sepanjang tempoh kerajaan MADANI, KUSKOP bersama-sama SKM melalui gerakan koperasi telah melaksanakan siri Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang memberikan manfaat kepada lebih daripada 500,000 masyarakat, terutamanya golongan B40 dan M40.
Tambah beliau, model pelaksanaan JMKU yang digerakkan oleh koperasi membuktikan keberkesanan konsep “ekonomi rakyat untuk rakyat” dalam konteks yang sebenar.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi SKM, YBhg. Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), YBhg. Datuk Mohd Ali Mansor.