Diterbitkan pada 19 Jun 2025, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Rakan strategik utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), TNG Digital Sdn. Bhd. telah melancarkan akaun perniagaan di bawah Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) untuk menyokong perkembangan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Dr. Hajah Fuziah Salleh berkata, pelancaran akaun perniagaan oleh pihak TNG Digital merupakan suatu produk baharu yang akan memberikan nilai tambah kepada golongan PMKS di Malaysia.

Jelas beliau,

Akaun perniagaan ini akan dilengkapi dengan ciri keselamatan, pemantauan transaksi dan fleksibiliti yang telah dipertingkatkan bagi membantu peniaga mengurus perniagaan mereka dengan lebih baik dan cekap.

Bagi menjayakan hasrat transformasi digital negara, semua pihak termasuk setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan, khususnya peniaga kecil, penjaja, usahawan mikro dan pengguna harian dalam mendorong perubahan ke arah pendigitalan.

Tambah beliau, produk ini merupakan suatu langkah penting ke arah mewujudkan sistem yang lebih mudah diakses, khususnya bagi golongan yang sebelum ini kurang mendapat manfaat daripada kemudahan digital.

Menurut beliau lagi, inisiatif seperti ini bukan sekadar berkaitan dengan teknologi tetapi juga memastikan semua pihak berpeluang untuk turut serta dan meraih manfaat dalam perkembangan ekonomi baharu.

Jelas beliau,

Kementerian akan terus memperkukuh usaha melalui inisiatif ReDI bagi memastikan seluruh rakyat sama ada peniaga mahupun pengguna dapat menikmati kemudahan pembayaran digital atau tanpa tunai secara menyeluruh.

Tambah beliau, KPDN akan melaksanakan Program Kembara ReDI di zon Sabah dan zon Sarawak pada hujung bulan ini sebagai usaha berterusan bagi tujuan advokasi dan pendaftaran e-dompet.

Program ini turut diserikan dengan pelaksanaan acara sampingan seperti Program Jualan Rahmah MADANI dan Program Kepenggunaan,

Beliau berharap pelancaran akaun perniagaan oleh TNG Digital dapat menjadi pemangkin kepada industri lain dalam memacu sektor perdagangan dalam negeri dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan negara.

KPDN akan terus menyokong sebarang usaha yang dibuat oleh pihak industri dalam memperkukuh kemudahan aplikasi tanpa tunai, terutamanya dalam kalangan PMKS.

Majlis Pelancaran Akaun Perniagaan TNG Digital disempurnakan oleh YB Senator Dr. Hajah Fuziah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi