Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Gula bertapis atau dikenali sebagai gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan perkara tersebut dalam satu kenyataan pada hari ini susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh MSM Malaysia Holdings Berhad berkaitan dengan kesan semakan semula Cukai Jualan terhadap gula mentah.
Menurut MOF, gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak lima peratus.
Namun begitu, MOF menyatakan bahawa pengilang seperti MSM layak memohon pengecualian cukai terhadap bahan mentah dan input mereka seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
“Oleh itu, tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis memandangkan penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga,” ujar MOF.
Oleh hal yang demikian, penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Pengecualian ini diperuntukkan di bawah Butiran 1 Lajur (2) Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).
Kerajaan MADANI telah mengambil pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai terhadap barangan keperluan rakyat seperti gula, garam, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, minyak masak dan beras. Hal ini bertujuan untuk memastikan majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan semakan semula SST.