Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang dengan lebih perlahan pada tahun 2025 berikutan tekanan luaran yang semakin meningkat, meskipun terdapat lonjakan sementara dalam eksport pada awal tahun ini.

Permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pemulihan sektor pelancongan dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi, manakala Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus menyokong permintaan domestik menerusi pelonggaran dasar monetari dalam keadaan inflasi yang rendah.

Menurut laporan ICAEW Southeast Asia Economic Insight: Suku Kedua 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan sederhana pada kadar 4.3 peratus bagi tahun 2025 berbanding dengan 5.1 peratus pada tahun 2024. Kelembapan pertumbuhan ini mencerminkan ketidaktentuan ekonomi global, terutamanya akibat ketegangan perdagangan dan permintaan yang lemah daripada rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.

Eksport barangan Malaysia melonjak 26 peratus pada April 2025 didorong oleh syarikat yang mempercepat penghantaran barangan ke AS bagi mengelak tarif baharu. Namun begitu, lonjakan ini dijangka bersifat sementara dengan pertumbuhan eksport dijangka perlahan pada separuh kedua tahun ini.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa pertumbuhan eksport barangan merosot kepada 1.6 peratus dari tahun ke tahun pada suku pertama 2025. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan purata kadar pertumbuhan 7.1 peratus dalam tiga suku sebelumnya.

Meskipun Malaysia memiliki asas eksport yang pelbagai, ekonomi negara masih terdedah pada kejutan luaran. Lebih empat peratus daripada KDNK dan kira-kira 11 peratus daripada eksport kasar berkait secara langsung atau tidak langsung dengan permintaan daripada AS. Pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus oleh AS terhadap import dari Malaysia walaupun lebih rendah daripada cadangan asal 24 peratus tetap menjadi halangan kepada pertumbuhan eksport Malaysia. Kelemahan permintaan dari China yang merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia turut menambah tekanan terhadap persekitaran perdagangan luar negara.

Permintaan global yang kukuh terhadap produk elektronik, khususnya sebagai komponen penting dalam rantaian bekalan global terus menyokong eksport E&E Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan sekitar 20 peratus setakat tahun ini. Prestasi kukuh ini mencerminkan peranan penting Malaysia dalam industri semikonduktor global.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merangkap Ahli Majlis Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW), YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi menyatakan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada kesatuan dan matlamat bersama. Beliau menekankan bahawa kerjasama dan pelaburan dalam kalangan negara anggota ialah kunci dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Sektor pelancongan pula kekal menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi didorong oleh ketibaan pelancong dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang menyumbang 67 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong pada tahun 2024. Eksport perkhidmatan berkaitan dengan pelancongan meningkat sebanyak 17 peratus dari tahun ke tahun pada suku pertama tahun 2025. Namun begitu, ketibaan pelancong pada masa hadapan mungkin terjejas akibat ketidaktentuan dalam pasaran pekerjaan dan pendapatan di negara utama yang menjadi penyumbang pelancong ke Malaysia.

Dengan ruang fiskal yang terhad akibat paras hutang awam yang tinggi, dasar monetari dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi domestik. Inflasi yang rendah sekitar 1.5 peratus memberikan ruang kepada BNM untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah sebanyak 50 mata asas menjelang akhir tahun ini. Bank pusat turut memberikan isyarat untuk meneruskan dasar monetari yang lebih longgar bagi merangsang pelaburan dan perbelanjaan pengguna.

Laporan ICAEW juga menunjukkan trend kelembapan dari Mac 2022 hingga Mac 2025 dalam pertumbuhan KDNK, penggunaan swasta serta eksport barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan sentimen berhati-hati pada peringkat domestik dan global.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil dengan disokong oleh sektor utama yang berdaya tahan dan pelaksanaan dasar yang bersesuaian dan tepat pada masanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi