Diterbitkan pada 4 Jun 2025, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan Chartered Tax Institue of Malaysia (CTIM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan permulaan kepada jalinan sinergi yang kukuh dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pematuhan percukaian di Malaysia.

Majlis penandatanganan MoU ini yang telah berlangsung di Menara HASiL, Cyberjaya diwakili oleh pengurusan tertinggi kedua-dua agensi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan Presiden CTIM, YBrs. Encik Soh Lian Seng.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang kedua-dua agensi dalam mewujudkan landasan kerjasama yang mantap dan berterusan ke arah memperkasakan sistem percukaian negara yang lebih berintegriti, telus dan progresif.

Antara skop utama kerjasama yang telah dipersetujui menerusi MoU ini termasuklah pelaksanaan inisiatif bersama dalam bidang pendidikan percukaian yang menyasarkan pelbagai kumpulan sasaran seperti golongan profesional, pemain industri dan masyarakat umum.

Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman berkenaan tanggungjawab percukaian sekali gus memupuk budaya pematuhan sukarela yang mampan dan beretika.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapannya menyatakan bahawa dalam menghadapi era digitalisasi dan ekonomi global yang semakin mencabar, kolaborasi rentas sektor dan antara organisasi menjadi semakin penting.

Tambah beliau, MoU ini merupakan platform untuk menyatukan kepakaran, pengalaman dan sumber daya HASiL dan CTIM ke arah memperkukuh sistem percukaian negara yang lebih komprehensif.

Sementara itu, YBrs. Encik Soh Lian Seng merakamkan penghargaan kerana CTIM dapat berganding bahu dengan HASiL dalam pelbagai aspek teknikal dan operasi termasuk pelaksanaan sistem penilaian kendiri, audit dan siasatan, pemindahan harga, cukai minimum global, pendapatan sumber luar negara, e-Invois, cukai keuntungan modal, cukai dividen dan duti setem. Menurut beliau lagi, kerjasama strategik seperti ini amat penting untuk memastikan sistem percukaian negara kekal adil dan efisien.

Sesi bergambar kenang-kenangan antara HASiL dengan CTIM seusai majlis.

Selain aspek pendidikan, MoU ini turut merangkumi kerjasama dalam bidang penyelidikan meliputi kajian berkaitan dengan dasar fiskal, tingkah laku pematuhan cukai serta impak perubahan dasar terhadap ekonomi dan masyarakat.

HASiL dan CTIM akan bekerjasama secara erat dalam melaksanakan penyelidikan bersifat praktikal dan berpandangan jauh dengan objektif untuk mengenal pasti cabaran semasa serta merangka cadangan penyelesaian yang konstruktif dan berkesan.

Dalam usaha memperkukuh pematuhan cukai secara menyeluruh, kerjasama ini juga akan merangkumi pelaksanaan program pembangunan kapasiti seperti bengkel, seminar, kursus latihan dan penyebaran maklumat terkini berkenaan perundangan serta peraturan percukaian. Melalui pendekatan ini, pemain industri dan orang awam akan lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dasar, sekali gus memastikan pematuhan yang lebih konsisten dan efektif.

MoU ini turut menekankan peranan CTIM sebagai saluran penting dalam menyalurkan maklum balas industri terhadap pelaksanaan dasar serta sistem percukaian sedia ada. Melalui kepakaran teknikal dan pengalaman luas tenaga profesional CTIM dalam bidang percukaian, HASiL dapat memperkukuh keberkesanan operasinya dalam membina sistem cukai yang lebih inklusif, saksama dan mesra pembayar cukai.

Secara keseluruhan, kerjasama strategik ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan negara melalui peningkatan kecekapan tadbir urus fiskal dan literasi cukai, malah mencerminkan aspirasi bersama ke arah mewujudkan sistem percukaian yang berdaya tahan dan kompetitif pada peringkat global.

Pemeteraian MoU ini akan membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi pada masa hadapan yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada pihak yang terlibat secara langsung tetapi juga kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), YBrs. Encik Khairul Halimin Abdul Halim; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBrs. Encik Shaharrudy Othman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), YBrs. Puan Norfaidah Daud; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), YBrs. Encik Ahmad Khairuddin Abdullah; Timbalan Presiden CTIM, YBrs. Encik Alan Ch’ung Yit serta barisan pengurusan kanan kedua-dua agensi.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Pusat Hubungan Hasil (HCC) menerusi talian 03-8911 1000/603-8911 1000 (Luar Negara);
  2. Sembang Langsung HASiL; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi