Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja untuk produk pasaran modal yang ditokenkan.

Menurut SC, produk pasaran modal yang ditokenkan merujuk representasi digital produk pasaran modal menggunakan teknologi lejar teragih (DLT) seperti saham token, bon token dan dana token.

Produk pasaran modal yang ditokenkan hendaklah dibezakan daripada token digital dan mata wang digital yang sudah pun tertakluk pada rangka kerja sedia ada yang berasingan.

SC menyatakan bahawa terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran modal yang ingin menawarkan produk pasaran modal token atau menjalankan aktiviti terkawal berkaitan dengannya.

Oleh itu, rangka kerja yang dicadangkan itu bertujuan untuk membolehkan penerokaan lebih luas tentang penggunaan DLT dalam pasaran modal terutamanya yang membolehkan aset boleh diprogramkan, pemilikan pecahan serta peningkatan ketelusan dan kecekapan dalam penyimpanan rekod sambil memastikan perlindungan pelabur.

SC memaklumkan kertas perundingan tersebut adalah untuk menggalakkan perbincangan dan mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung dengan keperluan seperti yang ditetapkan di bawah rangka kerja yang dicadangkan.

Kertas perundingan berkenaan bertujuan untuk mendapatkan maklum balas mengenai bidang utama termasuklah kewajiban tambahan seperti keperluan pendedahan yang dipertingkatkan, kawalan tadbir urus serta keperluan rekod dan pendaftaran; pengurusan risiko teknologi, iaitu pematuhan kepada Garis Panduan SC mengenai Pengurusan Risiko Teknologi yang meliputi keselamatan siber, privasi data dan daya tahan operasi serta keperluan tambahan untuk individu berlesen yang berurusan dalam produk pasaran modal token.

Menurut SC lagi, walaupun produk pasaran modal token memanfaatkan DLT, produk tersebut dianggap sama seperti produk pasaran modal konvensional di bawah peraturan sedia ada.

Sehubungan dengan itu, rangka kerja yang dicadangkan itu bertujuan untuk dibaca bersama-sama dengan undang-undang dan garis panduan sekuriti sedia ada untuk memastikan ketekalan pengawalseliaan.

SC mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuklah bakal pengeluar, pengantara berlesen, penyedia perkhidmatan teknologi, pelabur institusi, profesional perundangan dan pematuhan, dan persatuan industri untuk memastikan proses perundingan yang membina.

Di samping memberikan maklum balas mengenai kertas perundingan, SC juga menggalakkan peserta pasaran modal yang berminat untuk menawarkan atau berurusan dalam produk token untuk berunding dan membincangkan rancangan mereka dengan SC.

Menurut SC, tempoh perundingan awam adalah dari 6 Mei hingga 16 Jun 2025 dan orang ramai boleh memperoleh kertas rundingan berkenaan menerusi https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi