Diterbitkan pada 10 Mei 2025, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

George Town – Pulau Pinang terus memperkukuh peranannya sebagai pusat utama industri pembuatan emas negara dengan menyumbang sekitar 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran emas negara.

Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow menyatakan bahawa perubahan landskap perdagangan global menjadikan masa kini sebagai peluang terbaik untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai pemain utama dalam industri barang kemas serantau.

Jelas beliau semasa Pameran Perdagangan Emas dan Barang Kemas Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Setia SPICE,

Ketidaktentuan ekonomi global telah menyebabkan kenaikan mendadak harga emas yang baru-baru ini melepasi USD3,000 setiap auns. Perkara ini bukan sekadar turun naik pasaran tetapi isyarat bahawa emas ialah komoditi yang berharga.

Beliau juga menyatakan harapan agar lebih banyak syarikat tempatan menyertai pameran antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan Pulau Pinang dalam industri ini.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia, Datuk Chiah Hock Yew menyatakan bahawa pengeluar emas di wilayah utara telah memacu industri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Jelas beliau,

Pulau Pinang bukan sahaja wilayah utama bagi pembuatan emas di Malaysia tetapi juga berpotensi besar menjadi hab serantau bagi perdagangan emas.

Beliau menambah bahawa nilai eksport Malaysia bagi produk berkaitan dengan emas pada suku pertama tahun 2025 mencecah RM2.34 bilion, meningkat 9.76 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2024.

Pameran tahun ini menarik penyertaan pempamer antarabangsa terkemuka termasuklah dari China, Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, Ireland, India, Myanmar dan Pakistan.

Dengan sokongan kerajaan negeri dan pelaburan strategik, Pulau Pinang dijangka terus menyinar sebagai hab pembuatan emas Malaysia dan serantau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi