Diterbitkan pada 20 Mei 2025, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), YB Tuan Haji Manndzri Haji Nasib di ibu pejabat RISDA pagi ini.

Kunjungan tersebut diadakan sempena penyerahan majalah Dewan Ekonomi edisi Jun 2025 yang menampilkan YB Tuan Haji Manndzri sebagai tokoh utama muka hadapan. Wawancara eksklusif yang dimuatkan dalam edisi berkenaan menyoroti pandangan dan aspirasi beliau dalam memperkasakan sektor pekebun kecil getah serta peranannya dalam memacu kemajuan sosioekonomi luar bandar.

Majlis penyerahan yang berlangsung dalam suasana mesra ini turut menjadi medan perbincangan awal mengenai potensi kerjasama strategik antara DBP dengan RISDA khususnya dalam menjayakan program pemerkasaan bahasa Melayu dan pengembangan kesusasteraan.

YBrs. Dr. Hazami menyerahkan majalah Dewan Ekonomi kepada YB Tuan Haji Manndzri.

Menurut YBrs. Dr. Hazami, DBP melihat RISDA sebagai rakan strategik dalam memperluas capaian program bahasa dan sastera ke peringkat akar umbi termasuklah melalui penganjuran program baca puisi, penerbitan karya kreatif dan pembangunan bahan bacaan yang mencerminkan identiti tempatan.

Sementara itu, YB Tuan Haji Manndzri menyambut baik cadangan kerjasama tersebut dan menyatakan komitmen RISDA dalam menyokong usaha memperkukuh jati diri bangsa melalui pemerkasaan bahasa dan nilai sastera dalam kalangan masyarakat.

Dalam sesi pertemuan itu, beliau turut berkongsi sebuah puisi ciptaannya yang menggambarkan getah sebagai komoditi ekonomi utama yang turut diterbitkan dalam majalah Dewan Ekonomi.

YB Tuan Haji Manndzri menerangkan makna puisi nukilan beliau kepada YBrs. Dr. Hazami.

Majalah Dewan Ekonomi terbitan DBP terus mengekalkan komitmennya dalam mengetengahkan tokoh yang berperanan besar dalam pembangunan ekonomi negara serta memberikan wacana semasa berkaitan dengan ekonomi dari pelbagai perspektif.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RISDA, YBrs. Puan Haniza Ab Shukor dan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Kredit Foto: RISDA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi