Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 dengan sedikit sederhana berbanding dengan 4.9 peratus pada suku keempat 2024.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, perbelanjaan pengguna yang stabil dan pelaburan berterusan dalam projek baharu dan sedia ada. Penawaran gaji yang lebih tinggi termasuklah kenaikan gaji minimum baru-baru ini dan pelarasan gaji untuk penjawat awam turut membantu meningkatkan perbelanjaan isi rumah.
Aktiviti pelaburan juga kekal kukuh yang menunjukkan bahawa perniagaan terus bergerak ke hadapan walaupun terdapat ketidaktentuan perdagangan global. Walaupun eksport merosot berikutan permintaan yang lebih rendah untuk minyak dan gas, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan pelancongan menunjukkan pertumbuhan yang positif.
Sektor perkhidmatan dan pembuatan dilihat terus memacu ekonomi negara walaupun pertumbuhannya agak sedikit terjejas kerana jualan dan pengeluaran kereta yang lebih perlahan. Sektor perlombongan juga dilihat sedikit menguncup kerana pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah. Jika dilihat mengikut suku tahunan, ekonomi masih berkembang sebanyak 0.7 peratus.
Kadar inflasi bergerak sedikit perlahan kepada 1.5 peratus pada suku pertama disebabkan oleh harga utiliti yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, inflasi teras tidak termasuk item yang tidak menentu meningkat sedikit kepada 1.9 peratus terutamanya disebabkan oleh peningkatan kos sewa.
Ringgit kekal stabil berbanding dengan mata wang utama dan meningkat 0.8 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat. Kestabilan ini kerana mata wang dolar yang lebih lemah disebabkan ketidakpastian mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat yang terus menjejaskan pasaran dunia.
Pertumbuhan kredit pula bertambah baik dengan meningkat kepada 5.5 peratus didorong oleh permintaan kukuh untuk pinjaman perniagaan dan isi rumah terutamanya daripada perusahaan kecil dan sederhana (IKS).
Gabenor BNM, YBhg. Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, walaupun ketidaktentuan perdagangan global mungkin menurunkan sedikit pertumbuhan keseluruhan ekonomi Malaysia pada tahun 2025, permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama negara. Sektor utama seperti pembinaan, E&E dan pelancongan dijangka menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
Inflasi untuk tahun 2025 diunjurkan kekal sekitar 2.0 peratus dan 3.5 peratus. BNM akan mengemas kini unjurannya sebaik sahaja terdapat lebih banyak maklumat mengenai prospek global.