Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini menjadi satu-satunya agensi yang mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam satu kenyataan rasmi, MITI menjelaskan langkah ini diambil bagi membanteras cubaan mengelak tarif perdagangan melalui pengisytiharan palsu melibatkan nilai atau negara asal barangan.

Kerajaan memandang serius sebarang percubaan untuk mengelak tarif AS termasuklah melalui amalan pemunggahan kargo dari negara tertentu ke pasaran AS menggunakan Malaysia sebagai transit.

Sehubungan dengan itu, semua pengeluaran NPCO ke AS oleh majlis perniagaan, dewan atau persatuan yang sebelum ini diberikan kuasa di bawah garis panduan MITI dihentikan serta-merta.

MITI juga akan memperkukuh proses audit ke atas permohonan NPCO termasuklah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut MITI, langkah ini mencerminkan komitmen teguh Kerajaan MADANI dalam menegakkan integriti sistem perdagangan antarabangsa serta memastikan Malaysia tidak disalahgunakan sebagai saluran pemunggahan kargo ke pasaran luar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi